malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
GRS kerajaan paling gagal di Sabah - Bung Moktar
Diterbitkan:  Dec 30, 2024 1:58 PM
Dikemaskini: 8:00 AM
ADS
1

Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin terus menyerang gabungan GRS yang mentadbir negeri itu dengan melabelkannya sebagai kerajaan paling gagal.

Dalam satu rakaman video yang dimuat naik di Facebook Umno Sabah Online, Bung berkata kerajaan pimpinan Hajiji Noor juga menipu rakyat Sabah, terutama dalam menyediakan peluang pekerjaan.

“Saya akan ulang di mana saja saya berhujah, semenjak 2020 pemerintahan GRS sehingga hari ini, kerajaan paling gagal di sabah adalah kerajaan GRS.

“Kerjanya tipu rakyat, kalau tipu saya tidak apa, itu biasa. Tapi dia tipu rakyat saya paling marah betul.

“Dia kata peluang pekerjaan di Sabah semenjak GRS (jadi kerajaan) 367,000 pekerjaan, di mana itu ? Itu dia kerjanya menipu," katanya.

Bung menegaskan lapan daerah termiskin di Malaysia adalah di Sabah termasuk di Kudat, Kota Marudu dan Kinabatangan dengan banyak kawasan masih belum menerima bekalan air besar.

“Di Bengkoka ini, kasihan tuan-tuan, berapa puluh buah kampung tidak ada ada air bersih, tidak ada elektrik, tidak ada jalan baik," katanya.

Dalam ucapannya Adun Lamag itu berjanji membangunkan pelabuhan Kudat menjadi pelabuhan bertaraf antarabangsa dan membina lapangan terbang baru di Kudat sekiranya BN memenangi pilihan raya negeri itu.

“Sampai sekarang kita memang ada pelan membangunkan Kudat, sebab Kudat ini laluan kapal-kapal dari seluruh dunia, tetapi kita tidak bangunkan pelabuhan secara teratur dan tersusun.

“Maka insya-Allah kita akan bangunkan pelabuhan bertaraf antarabangsa di Kudat ini, dan kita akan bangunkan lapangan terbang baru, di Kudat ini.

“Tapi GRS kerjanya menipu, saya tidak takut kalau dia kata saya memfitnah. Buatlah laporan polis, saya akan bongkar apa-apa dia tipu sama rakyat," katanya.

Dalam pada itu Bung turut menempelak GRS yang baru-baru ini berdepan dakwaan skandal rasuah membabitkan Adunnya seperti dilaporkan Malaysiakini.

"Kalau pemimpin macam ini lagi rakyat Sabah sokong, bermakna bukan salah mereka, salah kita rakyat tidak pandai menilai pemimpin dan parti lagi.

“Saya ini Orang Sungai juga, sama-sama kita, saya tidak boleh tipu Orang Sungai. Saya tidak boleh tipu bangsa lain, sebab saya bukan penipu,"katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1