malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
TNB diarah jelaskan kenaikan tarif elektrik, PM beri jaminan rakyat tak terbeban
Diterbitkan:  Dec 27, 2024 3:56 PM
Dikemaskini: 9:38 AM
ADS

Kerajaan sedang mengambil langkah memastikan sebarang kenaikan tarif elektrik tidak membebankan rakyat, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, katanya, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof telah diminta segera mendapatkan penjelasan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Anwar berkata, sebarang kenaikan tarif mesti tertumpu kepada golongan atasan atau industri yang mencatatkan keuntungan luar biasa, dan bukan kepada majoriti rakyat.

“Mengenai pengumuman TNB tentang kenaikan tarif elektrik, tadi saya sudah menghubungi Datuk Seri Fadillah Yusof, menteri yang bertanggungjawab, untuk meminta TNB memberi penjelasan.

“Kami tidak akan membenarkan kenaikan yang boleh membebankan orang ramai. 

“Kenaikan ini, seperti yang berlaku sebelum ini, hanya akan membabitkan golongan maha kaya dan industri yang untung besar,” katanya kepada pemberita di Langkawi hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, walaupun dia memahami bahawa kos TNB sejak kebelakangan ini juga meningkat, namun kenaikan elektrik tidak boleh menjejaskan orang ramai. 

“Walaupun kos meningkat, tidak boleh menjejaskan kedudukan majoriti rakyat. Ini dari segi dasar (kerajaan).

“Saya faham keperluan naik, tapi kenaikan tidak boleh melibatkan kedudukan kos kepada majoriti rakyat,” katanya.

Tiada kenaikan hingga Jun 2025

Sehubungan itu, Anwar yang juga menteri kewangan berkata Fadillah dan TNB akan memberikan penjelasan secara terperinci berhubung perkara itu.

TNB semalam memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa tarif asas elektrik di Semenanjung Malaysia akan meningkat sebanyak 14.2 peratus kepada 45.62 sen setiap kilowatt-jam (kWh), berkuat kuasa Julai 2025 di bawah Tempoh Peraturan 4 (RP4) dari Januari 2025 hingga Disember 2027.

Namun, bagi enam bulan pertama RP4 sehingga Jun 2025, tiada perubahan dalam kadar tarif elektrik dan struktur tarif.

Menurut TNB, sebarang perbezaan dari Januari hingga Jun 2025 akan dibiayai melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).

"Jadual tarif elektrik semasa yang dilaksanakan sejak 2014, akan terus berkuat kuasa, tanpa perubahan dalam kadar tarif dan struktur tarif elektrik sehingga 30 Jun, 2025," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen