Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin melahirkan kebimbangannya mengenai dua himpunan yang dijangka diadakan pada masa dan tarikh sama di hadapan Kota Kinabalu pada 31 Disember ini.
Katanya, perhimpunan berkenaan berpotensi mencetuskan ketegangan antara dua kumpulan walaupun ia dirancang sebagai perhimpunan aman.
“Ia sekaligus membuka ruang kepada provokasi melampau yang berkemungkinan boleh menjejaskan ketenteraman awam.
“Saya memahami bahawa kedua-dua perhimpunan tersebut mempunyai matlamat masing-masing dan membawa mesej penting untuk rakyat.
“Namun, semua pihak harus menilai dari setiap aspek, termasuk implikasi terhadap keselamatan dan kestabilan negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Jumaat lalu, Malaysiakini melaporkan sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menggelarkan diri mereka sebagai Suara Mahasiswa UMS merancang penganjuran Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah pada 31 Disember ini.
Jurucakap kumpulan itu, Sudirman Arsyad berkata perhimpunan itu akan menyenaraikan beberapa tuntutan mereka termasuk peletakan jawatan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan supaya SPRM mempercepatkan siasatan berhubung skandal rasuah yang menggegarkan pentadbiran pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Sementara itu, terdapat satu lagi himpunan tular di media sosial yang dikatakan dianjurkan oleh pihak berlainan yang menyokong pentadbiran Hajiji.
Himpunan Aman Bangkit Sabahan itu dijadualkan pada hari yang sama sekitar jam 2 petang di hadapan Menara Kinabalu.
Sehubungan itu, Bung Moktar yang juga bekas timbalan ketua Menteri Sabah menggesa pihak polis supaya meneliti perkara tersebut secara mendalam.
Katanya, langkah proaktif perlu diambil bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang tidak diingini.
"Antara langkah yang boleh dipertimbangkan termasuk pemisahan lokasi perhimpunan iaitu dengan membenarkan salah satu pihak memindahkan lokasi perhimpunan ke kawasan yang berbeza demi mengelakkan pertembungan fizikal antara kedua-duanya.
"Komunikasi dengan penganjur perlu diadakan di mana pihak polis perlu mengadakan dialog dengan kedua-dua penganjur bagi memastikan semua pihak mematuhi garis panduan undang-undang berkaitan perhimpunan aman seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.
"Selain itu, meningkatkan langkah keselamatan dengan menempatkan lebih ramai anggota keselamatan di kawasan perhimpunan bagi mengawal situasi dan memastikan kelancaran kedua-dua acara," katanya.
Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata, keselamatan rakyat Sabah adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi.
"Saya menyeru semua pihak yang terlibat agar sentiasa menjaga keharmonian dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mengganggu gugat kestabilan negeri.
"Umno Sabah berdiri teguh dalam menyokong sebarang usaha yang bertujuan untuk membawa kebaikan kepada negeri ini, namun ia mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, selaras dengan undang-undang dan kepentingan awam," katanya lagi.