malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Akaun Tiktok dikesan guna suara, video pakar perubatan tanpa kebenaran
Diterbitkan:  Dec 23, 2024 10:47 PM
Dikemaskini: 3:13 PM
ADS

Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman mengesan kewujudan akaun TikTok yang menggunakan suara dan video pakar perubatan tempatan tanpa kebenaran bagi mempromosikan produk kesihatan.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata akaun “Malaysia Shopping Mall” didapati mempromosikan produk perubatan menggunakan suara dan video Prof Datuk Dr Noordin Darus tanpa kebenaran.

“Penggunaan suara dan video ini bagaimanapun telah dilakukan tanpa kebenaran pakar perubatan tersebut dan dipercayai menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“JSJK Bukit Aman mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah mempercayai iklan di media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kecanggihan teknologi AI dilihat menjadi pencetus kepada kewujudan iklan yang memaparkan suara, wajah serta video individu ternama tanpa kebenaran dengan tujuan mengelirukan pembeli.

Ramli turut menasihati masyarakat agar sentiasa berhati-hati terhadap promosi produk kesihatan yang mencurigakan serta tidak jelas sumbernya kerana dikhuatiri adalah produk palsu dan boleh mendatangkan mudarat kepada penggunanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen