Ketika Anwar Ibrahim bakal menghabiskan tahun kedua menerajui pentadbiran negara, satu tinjauan mendapati sokongan terhadap perdana menteri itu sedikit meningkat kepada 54 peratus.
Ini berdasarkan hasil tinjauan Merdeka Center yang melibatkan 1,207 responden antara 27 November hingga 10 Disember, yang ditanya jika mereka berpuas hati dengan prestasi perdana menteri.
Sebanyak 54 peratus responden menjawab positif, sering kali menyebut usaha Anwar dalam memperbaiki imej Malaysia, menarik pelaburan asing dan mempermudah perkhidmatan awam.
Namun, pendapat bercampur-campur mengenai usaha Anwar dalam memperkukuh ekonomi Malaysia.
Sementara itu, 39 peratus responden memberikan maklum balas negatif terhadap Anwar manakala lapan peratus lagi bersikap neutral terhadap prestasinya.
Sebagai perbandingan, tahap sokongan terhadapnya adalah 68 peratus ketika tempoh "bulan madu" selepas dia mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 2022, sebelum jatuh ke tahap serendah 43 peratus pada Jun tahun ini, sebelum meningkat ke paras semasa.
Pada tempoh sama tahun lepas, tinjauan Merdeka Center yang serupa memberikan Anwar sokongan sebanyak 50 peratus.
Walaupun terdapat peningkatan dalam sokongan, 53 peratus responden berpendapat Malaysia sedang menuju ke arah yang salah, berbanding 39 peratus yang optimis mengenai masa depan negara.
Keputusan ini hampir sama dengan penilaian tahun lalu.
Sama ada sentimen itu positif atau negatif, isu ekonomi masih mendominasi alasan yang diberikan oleh responden.
Antara sebab-sebab optimisme termasuk keadaan ekonomi yang menggalakkan (11.7 peratus), ekonomi yang semakin pulih (10.1 peratus), pentadbiran negara atau negeri yang baik (8.7 peratus) dan kestabilan politik (5.8 peratus).
Sementara itu, mereka yang merasakan negara sedang menuju ke arah yang salah menyebut keadaan ekonomi yang tidak menggalakkan (26.5 peratus), kos sara hidup yang tinggi (16.6 peratus), pentadbiran yang lemah (6.9 peratus) dan ketidakstabilan politik (6.7 peratus).
Ini kata Merdeka Center didorong kebimbangan berterusan mengenai tekanan kos sara hidup dan kegelisahan mengenai pengurangan subsidi yang dijadualkan berlaku pada masa depan,.
Sentimen pengundi, kata tinjauan itu masih tertumpu kepada ekonomi, yang sebahagian besarnya didorong oleh kebimbangan mereka terhadap ekonomi, dengan 65 peratus menyatakan ia 'masalah nombor satu yang dihadapi rakyat di negara ini hari ini'.
"Walaupun angka ini agak tinggi, ia telah menurun daripada 74 peratus setahun yang lalu," kata Merdeka Center pada satu kenyataan.
Tinjauan ini dijalankan melalui telefon di seluruh Malaysia sepanjang tempoh tinjauan, dengan responden berumur 18 tahun ke atas dipilih secara rawak menggunakan pensampelan berstrata mengikut etnik, jantina, umur dan negeri.
Margin ralat tinjauan ini dianggarkan sebanyak ±2.82 peratus.