malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jual saham MAHB: Siasatan PAC akan teliti bantahan pihak berkepentingan
ADS

Siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan turut meliputi bantahan pihak berkepentingan terhadap cadangan kerajaan menjual saham MAHB.

Bercakap kepada Malaysiakini, Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata, Ini termasuklah dokumen yang didakwa diperoleh Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal.

"Dalam prosiding, kami juga akan mengambil kira pendedahan dokumen yang mendakwa ada pihak berkepentingan tidak bersetuju dengan harga saham dalam penjualan tersebut.

"Kami nak memastikan ketelusan dan kesahihan dokumen tersebut," katanya.

Mas Ermieyati diminta mengulas adakah PAC akan menyiasat dokumen yang didakwa diperoleh Wan Fayhsal daripada pihak berkepentingan yang tidak bersetuju dengan langkah kerajaan untuk menjual saham MAHB.

Pada 12 Disember, Wan Ahmad Fayhsal berkata dokumen itu mengandungi pandangan pihak berkepentingan yang menentang penjualan saham MAHB dengan alasan tidak bersetuju dengan harga saham.

"Di tangan saya, saya memiliki satu dokumen yang diberi oleh pihak berkepentingan dalam urus niaga penswastaan ini yang mana sebenarnya ada bantahan dan bangkangan yang dinyatakan kepada Khazanah dan KWSP serta pihak kerajaan, bahawasanya mereka tidak bersetuju dengan apa yang ditawarkan oleh kerajaan pada hari ini berkenaan dengan harga saham," katanya.

Memetik dokumen yang dikatakan bercanggah, pemimpin Bersatu itu berkata harga RM7 sesaham adalah terlalu murah dan Malaysia pasti akan mengalami kerugian akibat penjualan itu.

"Oleh kerana harga yang ditawarkan sangat rendah dan tidak menggambarkan potensi dan nilai sebenar yang boleh disumbangkan oleh MAHB kepada ekonomi negara.

"Kalau dibuat juga penjualan saham ini pada pandangan saya dan pakar-pakar malah berdasarkan nota bantahan yang saya perolehi ini juga ia satu pengkhianatan kepada negara dari segi komersial dan ekonomi," tambahnya.

Bagaimanapun, Gateway Development Alliance (GDA) dan rakan kongsinya secara rasmi menawarkan untuk mengambil Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) secara persendirian pada harga RM11 sesaham.

Ini berikutan kelulusan pihak berkuasa yang berkaitan di Turki, Arab Saudi, Mesir dan Malaysia, seperti yang digariskan dalam pengumuman tawaran prasyarat.

Konsortium itu, yang diketuai oleh anak syarikat Khazanah Nasional Bhd, UEM Group Bhd dan KWSP, turut merangkumi Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP).

Walaupun terdapat kontroversi mengenai dakwaan hubungan GIP dengan Israel, firma itu, yang baru-baru ini diperoleh oleh BlackRock, kekal sebagai sebahagian daripada konsortium itu.

Sehingga 15 November, konsortium dan syarikat induknya secara kolektif memiliki 41.1 peratus saham MAHB.

Isu mengenai penjualan saham MAHB merupakan antara yang akan disiasat PAC dalam prosiding yang dijangka bermula 3 Februari hingga 6 Mac tahun depan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen