malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS didakwa kutip derma bantu Siti Mastura bayar RM825k pada DAP
Diterbitkan:  Dec 23, 2024 4:19 PM
Dikemaskini: 8:59 AM
ADS
1

PAS didakwa menganjurkan kutipan derma bagi membantu Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad membayar ganti rugi RM825,000 kepada pemimpin DAP.

Ini selepas Siti Mastura kalah dalam kes saman fitnah kerana mendakwa Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng mempunyai kaitan keluarga dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng, selain menuduh Teresa Kok ada kaitan dengan Lim.

Dalam surat yang tular di media sosial, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, pemimpin DAP berkenaan menuntut bayaran itu segera.

Kegagalan berbuat demikian, katanya, akan menyebabkan prosiding kebankrapan dimulakan terhadap Siti Mastura, yang seterusnya boleh menyebabkan dia kehilangan kerusinya sekali gus mencetuskan pilihan raya kecil.

Takiyuddin menyorot bahawa Masturah mengeluarkan kenyataan itu semasa berkempen untuk PAS pada pilihan raya kecil Kemaman.

Justeru, bagi mengelak Siti Mastura hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen, parti itu menganjurkan kutipan derma.

Surat itu menyatakan bahawa ketua jawatankuasa PAS pusat dan ketua negeri, bahagian dan cawangan dikehendaki menderma sekurang-kurangnya RM500 setiap seorang.

Bahagian negeri serta sayap di peringkat persekutuan, negeri dan bahagian dikehendaki mengumpul sekurang-kurangnya RM20,000 setiap satu.

Malaysiakini cuba menghubungi Takiyuddin dan pemimpin PAS yang lain untuk mengesahkan kesahihan surat tersebut.

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata dia tidak dapat mengulas mengenai perkara itu.

Sementara bekas pemimpin PAS Khairuddin Aman Razali mengkritik kutipan derma itu.

“Sangat tidak wajar mengutip dana daripada masyarakat untuk membayar saman sivil kerana perlakuan dosa fitnah,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai perkara ini, Fadhli membalas dengan artikel Malaysiakini dari 2017 yangmelaporkan Rafizi Ramli dari PKR juga melakukan kutipan dana untuk membayar RM300,000 kepada National Feedlot Corporation (NFC) atas saman fitnah.

Rafizi kemudiannya memenangi rayuan dan wang itu dikembalikan. Dia berkata dia akan menggunakan wang itu untuk menaja pelajar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1