malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tarian colok mata: K’jaan Kelantan siasat penganjur, sekolah Cina
Diterbitkan:  Dec 23, 2024 4:17 PM
Dikemaskini: 8:17 AM
ADS

Kerajaan negeri Kelantan dilaporkan telah membuka  kertas siasatan berhubung penganjuran sebuah majlis makan malam sebuah syarikat perlombongan yang didakwa disajikan dengan persembahan tarian yang mencolok mata di Tanah Merah, pada Sabtu lalu.

Turut disiasat adalah sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di Tanah Merah apabila membenarkan dewan sekolah itu dijadikan lokasi majlis berlangsung dan dikatakan melanggar peraturan negeri.

Hilmi Abdullah

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Hilmi Abdullah dipetik oleh portal Berita Harian sebagai berkata, siasatan awal mendapati penganjuran majlis itu tidak mempunyai lesen hiburan.

"Kita difahamkan sebahagian besar tetamu adalah pelombong dari Tanah Besar China yang menjalankan kerja lombong sekitar Sokor, Tanah Merah dan pekerja syarikat serta tetamu luar.

"Terdapat beberapa tetamu juga terdiri daripada penduduk tempatan beragama Islam yang bekerja dengan syarikat berkenaan.

"Kita kesal dengan tindakan pihak penganjur yang menyediakan hiburan seperti itu selain menjadikan dewan sekolah untuk acara hiburan berkenaan," katanya.

Hilmi berkata, kerajaan negeri sedang menunggu laporan lengkap berhubung penganjuran majlis itu sambil menambah bahawa penganjur juga tidak memohon permit hiburan.

Menurutnya, Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) juga sudah diarah melakukan siasatan itu.

Sebelum ini, tular di media sosial berhubung penganjuran majlis tersebut.

Pihak penganjur dan sekolah dikatakan melanggar Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat Hiburan 1998 (Kesalahan Tiada Lesen) yang memperuntukkan denda sehingga RM20,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen