Kerajaan telah memeterai perjanjian dengan Weststar Aviation Sdn Bhd untuk memajak helikopter untuk kegunaan kementerian, tentera dan juga agensi kerajaan.
Perjanjian itu ditandatangani dalam satu majlis pada 19 Disember lalu. Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar mewakili Putrajaya.
Pemeteraian perjanjian itu dikongsi oleh Shamsul dan Tentera Udara Diraja Malaysia di media sosial mereka.
Persetujuan itu adalah untuk pajakan 15 tahun yang diberikan kerajaan kepada Weststar, yang akan membekalkan helikopter untuk pasukan tentera, polis, jabatan bomba dan penyelamat, agensi penguatkuasaan maritim Malaysia, dan satu helikopter untuk kegunaan jabatan perdana menteri.
Pada sidang Dewan Rakyat, 28 November lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan telah membuat permohonan untuk cadangan (RFP) dan empat syarikat yang antara lain, memenuhi kriteria kerajaan dari segi modal dan lesen.
Daripada empat syarikat itu, Anwar memaklumkan yang Weststar telah dipilih. Katanya, bahawa ini sebahagiannya disebabkan oleh hubungan sedia ada syarikat itu dengan firma pengeluar helikopter Itali Leonardo.
Leonardo telah memilih Malaysia sebagai hab penyelenggaraan dan pembaikan untuk Asia Tenggara dan Asia Timur.
Di bawah perjanjian pajakan itu, kerajaan akan dibekalkan dengan helikopter Leonardo yang bersesuaian bagi penggunaan khusus setiap jabatan. Antaranya, seperti penggunaan untuk memadamkan kebakaran.
Anwar berkata perjanjian pajakan itu juga akan menyaksikan kos penyelenggaraan dan pembaikan ditanggung sepenuhnya oleh pembekal.
Ini katanya, akan menjimatkan berbilion-bilion duit kerajaan setiap tahun.
Menurutnya, bahawa Singapura, Indonesia, dan Filipina juga menggunakan model pajakan.
Apabila pajakan 15 tahun berakhir, Anwar berkata kerajaan akan mempunyai pilihan untuk membeli setiap helikopter dengan harga murah, iaitu sekitar RM15 juta setiap satu.