Seorang penoreh getah dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anak perempuan kandungnya, lima tahun lepas.
Hakim Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap lelaki berusia 52 tahun dan memerintahkan hukuman penjara bagi pertuduhan berkenaan berjalan bermula dari tarikh tangkap pada 31 Jan 2020.
“Setelah mendengar rayuan OKT (orang kena tuduh) dan fakta keterangan bagi kes ini berserta faktor pemberatan daripada pihak pendakwaan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan lima sebatan,” katanya.
Surita turut mengarahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama setahun selepas tamat hukuman dan kaunseling pemulihan selama dua tahun dalam tempoh menjalani hukuman berkenaan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu melakukan sumbang mahram terhadap anak perempuannya berusia 11 tahun di sebuah rumah di Gemencheh, Tampin kira-kira 12 tengah malam antara Jun hingga Disember 2019.
Pertuduhan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebatan.
Terdahulu, peguam Muhamad Hafiz Leman memohon hukuman penjara minimum dikenakan terhadap anak guamnya bermula dari tarikh tangkapan dengan mengambil kira faktor umur tertuduh.
Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dan mengambil kira faktor kesalahan berat yang dilakukan tertuduh sebagai seorang bapa.
“Pengakuan salah bukan faktor peringanan hukuman kerana perlu ambil kita kepentingan awam...seorang bapa bersifat melindungi tetapi OKT mengambil kesempatan terhadap anaknya. Jadi mohon hukuman berat dikenakan supaya memberi mesej kepada masyarakat dan pengajaran kepada OKT,” katanya.
-Bernama

