malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Eksport bijih besi naik: ‘Alam parah, hidup Orang Asli punah’
ADS

Di satu lokasi di tepi Lebuhraya Gua Musang-Cameron Highlands, timbunan hitam seaakan-akan pasir menunggu untuk diambil oleh pembeli. Inilah bijih besi yang dikorek dari hutan simpan.

“Timbunan ini tak diusik sampai ada pembeli, kadangkala terbiar selama enam bulan.

“Kami tahu bijih besi ini dibawa ke Prai (di Pulau Pinang), tapi kami tak tahu ke mana di Prai,” kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Kelaik, Ahak Uda.

Bijih besi ini datangnya dari dua lombong berdekatan Kampung Kelaik, sebuah perkampungan Temiar Orang Asli di pedalaman Gua Musang. Perlombongan sudah berjalan di sini lebih sedekad lamanya.

Plaintif kes saman penduduk Temiar Kampung Kelaik atas pencerobohan tanah adat, (dari kiri) Aziz Angah, 30, Ahak Uda, 57, and Anjang Uda, 33.

Sejak itu, sungai telah berubah warna menjadi merah karat dan hutan tebal kini menjadi seakan padang jarak, padang tekukur.

Dua lombong ini, Redstar Capital yang bermula sejak 2009 dan Aqua Orion yang beroperasi sejak 2015.

Syarikat tersenarai pembeli bijih besi

Menurut dokumen yang dilihat Malaysiakini, sekurang-kurang sebuah lombong menjadi sumber kepada eksport antarabangsa.

Ini bermakna nasib kaum Temiar yang terpencil ini bergantung kepada keputusan di luar negara dengan jarak beribu-ribu kilometer jauhnya.

Menurut dokumen itu, 37,660 kg bijih besi diambil oleh Ann Joo Integrated Steel Sdn Bhd dari pejabat Redstar Capital di Taman Gunung View, Perak lewat tahun lalu.

Perlombongan memusnahkan hutan berdekatan Kampung Kelaik, Gua Musang di Kelantan.

Walaupun bijih besi itu berasal dari lombong di Kampung Kelaik, dokumen ini menyatakan ia dari Taman Gunung View, sebuah taman perumahan.

Menurut penduduk Kampung Kelaik, lori sama yang mengambil bijih besi dari Redstar Capital juga mengambil bijih besi dari Aqua Orion.

Oleh itu, mereka syak kedua-dua lombong ini menghantar hasil perlombongan ke kilang sama di Prai, tetapi Malaysiakini tidak dapat memperolehi apa-apa bukti bertulis untuk mengesahkan dakwaan ini.

Ann Joo Integrated anak syarikat kepada syarikat tersenarai Ann Joo Resources Berhad. Pada 2023, syarikat ini menerbitkan laporan tahunan yang bertajuk Casting Sustainability Into The Steel Business (Menegakkan Kelestarian Dalam Perniagaan Besi Keluli).

Syarikat ini mempunyai sebuah kilang besi keluli dan empat kilang pemprosesan besi di Pulau Pinang, termasuk sebuah kemudahan di atas sebidang tanah lot perindustrian seluas 237.488 ekar, di Prai.

Ann Joo Integrated pula membuat besi dan besi keluli, serta mempunyai kapasiti untuk menghasilkan 500,000 tan metrik besi keluli.

Malaysiakini telah menghubungi Ann Joo untuk komen.

Destinasi: Australia, China dan Switzerland

Syarikat ini tidak menamakan siapa pelanggan mereka. Tetapi melalui satu kenyataan umum pada tahun 2022 ia merujuk kepada satu “pelanggan besar”, yang menjana hasil RM433.32 juta atau 14.3 peratus pendapatan Ann Joo.

Pelanggan yang tidak dinamakan ini telah mengeskport buatan Ann Joo ke dunia. Kebanyakan produk keluli yang dijualnya merupakan produk keluli industri huluan (bahan mentah yang diproses sebelum melalui pembuatan).

Namun begitu, pada tahun 2023 hasil dari pelanggan ini jatuh ke RM254.6 million, iaitu sebanyak 10.2 peratus hasil keseluruhan Ann Joo.

Salah satu destinasi import produk Ann Joo ialah Australia. Pada tahun 2015, syarikat ini disiasat oleh kerajaan Australia kerana melakukan lambakan produk tiang besi.

Pada tahun 2020, Ann Joo memberitahu pemegang saham bahawa ia telah “bergerak secara agresif untuk mengeksport ke negara China bagi memenuhi permintaan untuk bahan keluli yang tinggi, akibat pelaburan fast-track dalam sektor infrastruktur.”

Malaysia merupakan pengeskport besi dan kelui yang ke 23 terbesar di dunia. Ia mengeksport lebih kurang 7.5 juta tan besi dan keluli setahun, dengan nilai sekitar RM7.48 billion. Ini lebih besar daripada nilai eksport besi kelui Australia.

Switzerland juga merupakan negara yang semakin banyak mengimport bijih besi dari Malaysia.

Negara lain yang mengimport bijih besi dari Malaysia termasuk China, India, Indonesia dan Jepun.

Eksport bijih besi meningkat

Nasib penduduk Temiar Kampung Kelaik mula-mula dilaporkan oleh Malaysiakini pada tahun 2012. Pada masa itu sungai sudahpun menjadi merah karat, sehingga nasi yang dimasak dengan air sungai pun bertukar warna.

Namun, pada masa yang sama sumbangan bijih besi kepada ekonomi eksport Malaysia semakin meningkat dan keluhan warga Orang Asli ini tidak diendahkan.

Sungai di Kampung Kelaik menjadi merah disyaki dari efluen perlombongan. Tapi Redstar Capital, pengendali salah satu lombong di situ berkata mereka tidak melepaskan efluen ke sungai.

Pada tahun 2013, eksport bijih besi menyumbang kepada kenaikan nilai eksport bahan mineral dari Malaysia, sehingga naik ke RM1.46 billion.

Kini, produk besi dan keluli menjadi bahan eksport kelapan paling tinggi di Malaysia, dengan pengimport utama termasuk Hong Kong, China, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Indonesia.

Peningkatan eksport ini membawa tragedi kepada Orang Asli suku Temiar kerana pelombongan semakin meluas dan pada tahun 2015, lombong kedua Aqua Orion dibuka berdekatan petempatan mereka.

Racun dalam darah

Malaysiakini kembali ke Kampung Kelaik lebih sedekad kemudian. Tahun ini Malaysiakini mengendalikan beberapa ujian sampel air dan alam sekitar, di beberapa lokasi sungai dan juga terhadap ikan dan paku pakis.

Malaysiakini juga mengambil sampel darah enam penduduk kampung yang memberi kebenaran untuk darah mereka diuji kandungan logam berat.

Salah seorang penduduk tersebut Azlan Ahak, remaja berusia 19 tahun yang masuk ke sungai hampir setiap hari. Kadar kromium dalam darahnya empat kali lebih tinggi daripada normal.

Kromium sejenis bahan karsinogenik. Ia sering dipanggil ‘bahan kimia Erin Brockovich’, sempena satu filem Hollywood berkenaan keracunan kromium di sebuah pekan di California.


BACA ‘Maut di sungai merah’ - Orang Asli risau anak-anak keracunan


Vivien How, seorang pakar kimia, telah menganalisa keputusan ujian makmal yang dikendalikan Malaysiakini.

Dia menganggarkan risiko Azlan mendapat kanser dalam hidupnya akibat pendedahan kromium adalah 64,000 kali ganda daripada normal.

Dia juga menganggarkan enam peratus penduduk Kampung Kelaik mungkin mempunyai kadar risiko yang tinggi seperti Azlan, tapi mereka semua perlu diuji untuk memeriksa kadar kromium di dalam badan mereka.

Azlan Ahak, 19, (duduk, kanan), bersama bapanya Ahak Uda, 57, (duduk, kiri) dan lain-lain penduduk berehat sebentar semasa membina sebuah rumah.

Katanya, keracunan kromium terhadap Azlan berkemungkinan berpunca akibat perlombongan, kerana sampel air berdekatan salah satu lombong, Aqua Orion, menunjukkan kromium yang tinggi.

Ditemui Malaysiakini, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata dia akan mengarahkan kementeriannya memeriksa penduduk Kampung Kelaik untuk memastikan kadar kandungan logam berat dalam badan mereka.

Redstar: Kami ikut peraturan

Malaysiakini juga telah menghubungi Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), syarikat perlombongan Aqua Orion dan Redstar Capital, serta Kementerian Alam Sekitar untuk maklumbalas.

Hanya Redstar Capital telah menjawab permintaan untuk komen.

Pengurus pentadbirannya Julice Chu berkata laporan media berkenaan isu ini berat sebelah.

Walaupun Malaysiakini telah melihat air mengalir dari kolam sisa lombong Redstar ke aliran sungai, Chu berkata lombong itu tidak melepaskan efluen ke sungai dan mengguna semula air buangan untuk proses perlombongan.

Katanya, Redstar Capital juga telah mengikut semua peraturan berkenaan pembuangan sisa dan menghantar sampel air sungai ke JMG dan Jabatan Alam Sekitar pada setiap bulan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen