Seorang jurulatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam mendakwa dirinya seolah-olah dijadikan kambing hitam dalam kes kematian kadet Muhammad Amir Rusyaidi Muhammad Zaidi pada 13 Nov.
Koperal itu memberitahu Malaysiakini, dia mendengar perbincangan untuk “mewujudkan kambing hitam” bagi menyelesaikan kes itu, selain menjadi subjek tunggal siasatan.
Bapa kepada seorang cahaya mata itu mendakwa, dalam siasatan bermula pada Isnin dan memasuki hari keenam (Ahad lalu), dia diprovokasi oleh penyiasat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya mengaku salah.
"Sepanjang penyiasatan ini dijalankan oleh ATM, hanya saya seorang sahaja disiasat. Saya tak pasti kalau sekiranya ada siasatan terhadap jurulatih lain atau di kadet di UiTM. (Tetapi) yang berada di sini hanya saya seorang saja.
"Jurulatih lain tidak hubungi saya. Semua ibaratnya menghilangkan diri. Sebab itu kalau ditanya adakah saya rasa dikambinghitamkan? Saya kata ya.
"Sebab dekat markas hari itu mereka (bincang) nak mewujudkan kambing hitam untuk menyelesaikan kes ini, nak beritahu kepada masyarakat terutama kepada ibu bapa arwah bahawa kes ini selesai atas kesilapan saya.
“Sedangkan sepanjang perkhidmatan tak pernah saya tak patuh kepada arahan,” katanya.

Katanya, sebagai seorang tentera dia sentiasa patuh pada arahan tidak kira hitam-putih atau lisan.
Malaysiakini telah menghubungi Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin, timbalannya Adly Zahari serta pihak ATM serta masih menunggu maklum balas mereka.
Nama jurulatih itu tidak didedahkan buat masa ini kerana kes masih belum dituduh di mahkamah.
Selain siasatan dalaman tentera, polis juga menyiasat unsur jenayah dalam kes kematian itu dan sudah pun melengkapkan kertas siasatan dan akan dihantar ke mahkamah koroner untuk prosiding inkues.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan Muhammad Amir meninggal dunia pada 13 Nov selepas mengikuti sesi latihan yang didakwa meletihkan pada 10 Nov.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata, pelajar itu disahkan meninggal dunia dengan punca kematian ditentukan sebagai “strok haba dengan kegagalan multiorgan”.
Bapa mangsa membuat laporan polis mendakwa anaknya didera, termasuk dipijak di dada, dipaksa melakukan pergerakan seperti kuda, ditunggang jurulatih dan diarah melompat seperti kanggaru.
Kadet berusia 25 tahun itu rebah selepas menjalani latihan dan koma sehingga kematiannya.
‘Insiden ketika ujian kecergasan bukan kes dera, buli’
Sementara itu jurulatih berusia 30 tahun itu turut mendakwa seorang kakitangan UiTM (bahagian hal ehwal pelajar) menyatakan mereka akan mewujudkan kronologi kes itu seperti mana kes buli di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sebelum ini.
Koperal itu bagaimanapun menegaskan bahawa UiTM tidak boleh berbuat sedemikian kerana insiden ketika ujian kecergasan Palapes bukan kes penderaan atau buli.
"Saya kata tak boleh, sebab kes UPNM itu terang-terangan adalah penderaan, buli dan sebagainya.
“Ada jadual ke tanpa jadual ke ini adalah ujian kecergasan, ia tetap ujian kecergasan, ia tak sama dengan kes penderaan atau buli.
"Itu pihak UiTM cakap (semasa di hospital), bila macam ini salah satunya apa yang UiTM nak buat itu sedang berlaku sekarang ini dan semuanya jatuh atas kepala saya seorang.
"Satu lagi kenapa saya seorang saja diasingkan keluar, kenapa (jurulatih) yang lain masih berada di UiTM tersebut? Adakah untuk menghasut yang lain supaya ikut cakap brainwash dan sebagainya? Untuk mengeluarkan kata sepakat, sebulat suara dan sebagainya?
"Sehingga sekarang anggota termasuk pegawai masih kekal di UiTM tersebut. Saya seorang saja diasingkan seperti penjenayah pula dilayan," tambahnya lagi.
Jurulatih yang mula bertugas di Unit Palapes UiTM sejak April lalu itu berkata, pihak polis juga berpesan kepadanya supaya tidak menjawab sebarang soalan berkaitan jenayah sekiranya ditanya dalam siasatan ATM.
"Tetapi (penyiasat) ATM memaksa saya untuk menyebut apa yang polis tak bagi sebut. Soal (dakwaan) memijak itu jenayah, tendang sepak dan sebagainya, itu unsur jenayah. Tetapi kenapa ATM tanya, dia tak faham bidang tugas ke macam mana?” soalnya
Dia mendedahkan berdepan 108 soalan dalam soal siasat tentara dan kebanyakannya berkaitan isu jenayah.
“Bukan tak ada soalan berkaitan dokumentasi (berkaitan isu pentadbiran Palapes) tetapi boleh dikira dengan jari, selebihnya soalan jenayah dan soalan untuk menanam saya dalam tanah.
"Contoh soalan, adakah kamu memijak dia, adakah kamu menampar dia, adakah kamu menendang dia? Apabila saya menjawab tidak, dia akan tanya lagi kamu memijak menggunakan kaki kiri atau kanan?
"Apabila saya jawab tidak, ditanya lagi soalan yang memang saya tak buat, tetapi dia cuba provok," dakwanya.
Sementara itu, dia berkata pernah mengajukan soalan dengan bahagian siasatan ATM berkaitan perbezaan siasatan pasukan itu dengan polis.
"Mereka kata tentera siasat cara lain, polis siasat cara lain, jadi jauh beza. Jadi saya diam.
"Sedangkan menteri pertahanan dan menteri pengajian tinggi dah bahagikan tugas di antara polis dan ATM. (Sepatutnya) polis ambil siasatan soal jenayah, ATM ambil bab pengurusan, pentadbiran dan teknikal.
"Adakah arahan diberikan kepada ATM untuk ambil bahagian jenayah dan punca kematian? Tak ada kan? Tapi kenapa ATM pula nak ambil kerja lebih daripada polis? Adakah ATM mempunyai niat konspirasi jahat untuk mewujudkan kambing hitam itu terhadap saya?" soalnya.
Jurulatih itu juga berkata, dia membuat laporan polis susulan cara siasatan ATM dijalankan terhadapnya.
"Saya akan ambil tindakan sebab apa yang saya lihat sekarang ini semuanya diletakkan di atas pundak saya. Saya akan ambil tindakan. Kalau saya hanya membiarkan perkara ini, benda yang sama saya akan dijadikan kambing hitam dan buang saya daripada perkhidmatan.
“Jadi baik saya lawan.
"Sebab saya bekerja dalam satu organisasi, kenapa perlu pandang saya seorang? Kenapa tak lihat daripada pucuk kepimpinan sampai ke bawah?
“Kenapa apa yang berlaku di UiTM itu hanya saya seorang?" soalnya lagi.
Ditolak ke pelbagai tempat
Sementara itu, jurulatih itu juga berkata dia kini ditolak ke pelbagai tempat selepas insiden itu.
Katanya dia dikeluarkan daripada unit latihan Palapes UiTM dan dipindahkan ke Pangkalan TUDM Sendayan (markas pasukan sukarelawan).
"Saya diletakkan di Pangkalan Udara Sendayan dikatakan untuk siasatan, tetapi sepanjang lima hari di situ tiada satu pun siasatan dijalankan terhadap saya.
“Tiba-tiba saya ditukarkan pula ke Pangkalan Udara Subang, tetapi tak sempat ke sana keluar semboyan (arahan) saya ditukarkan ke Bahagian Tatatertib TUDM untuk tumpangan.
"Selepas beberapa jam di bahagian tatatertib, keluar lagi arahan saya ditumpangkan ke Cawangan Siasatan Jenayah TUDM," katanya ketika dihubungi, semalam.
Sementara itu, jurulatih itu juga keluarga si mati dapat memberikannya keadilan supaya nama baiknya dan keadaan dapat dibersihkan.
Dia juga berkata keluarga arwah, melalui media massa, turut memberi tekanan emosi kepadanya.
Dia juga menyelar pihak yang mendedahkan nama dan wajahnya di media sosial.
"Ini sampai nama saya ditulis secara terang-terangan di Instagram, mana saya nak letak muka saya di luar sana?” soalnya.
BAHAGIAN 1: Tunggang Palapes UiTM, suruh jadi kanggaru? Ini penjelasan jurulatih

