malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
DAP Sabah dapat mandat kaji kedudukan dalam k'jaan negeri
Diterbitkan:  Dec 11, 2024 9:57 AM
Dikemaskini: 2:14 AM
ADS

Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP memberikan mandat penuh kepada pemimpin parti itu di Sabah untuk mengkaji semula kedudukan mereka dalam kerajaan negeri.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, memberitahu keputusan tersebut diambil selepas CEC bermesyuarat di Kuala Lumpur pada malam tadi.

Katanya dalam pertemuan tersebut Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe, memberikan penerangan terperinci mengenai isu dakwaan skandal rasuah yang melanda negeri terbabit.

Ia mula menjadi perhatian ekoran tularnya sejumlah rakaman video yang didakwa menunjukkan kegiatan tersebut di Sabah dan melibatkan beberapa ahli politik.

Kata Loke, CEC menegaskan pendirian DAP bahawa parti itu memang tidak berkompromi dengan segala amalan rasuah dalam pentadbiran kerajaan.

Justeru katanya, DAP menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes tersebut dengan tegas.

"CEC telah memberikan mandat penuh kepada pimpinan DAP Sabah untuk mengkaji semula kedudukan DAP dalam pentadbiran kerajaan negeri dan mengambil tindakan yang selanjutnya," kata Loke yang juga menteri pengangkutan.

Tetap pertahankan prinsip

Sejak bulan lalu kerajaan Sabah yang dipimpin oleh ketua menteri Hajiji Noor telah terpalit dengan dakwaan skandal berhubung lesen mencari gali bahan mineral.

Seorang pembocor maklumat menerbitkan video yang membabitkan tujuh Adun - termasuk menteri Sabah - yang didakwanya menerima rasuah untuk memudahkan dia mendapatkan lesen.

Sementara itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Mineral Management Sdn Bhd, Jontih Enggihon, menuduh Hajiji menyalahgunakan kuasanya sebagai pengerusi syarikat tersebut.

Pada Isnin, Setiausaha DAP Sabah, Vivian Wong, mengeluarkan kenyataan yang menegaskan pendirian parti itu tidak berkompromi terhadap amalan rasuah.

Phoong Jin Zhe

Bagaimanapun, pada masa sama DAP Sabah mengucapkan terima kasih kepada Hajiji kerana berjanji untuk memastikan tiada lesen perlombongan dikeluarkan.

Ketika ini DAP mempunyai empat wakil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, dengan Phoong berada dalam kabinet negeri itu.

Phoong merupakan Adun Luyang.

PKR pula memenangi dua kerusi manakala Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) satu.

Gabungan parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menguasai 56 daripada 73 kerusi yang ada dalam DUN negeri berkenaan.

Ia menjadikan GRS memiliki kelebihan 16 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.

Sementara itu ketika dihubungi, sumber DAP Sabah memberitahu Malaysiakini, mereka akan berunding dengan parti lain dalam PH sebelum membuat keputusan sama ada kekal atau tidak dalam kerajaan negeri.

"Kami akan mempertahankan prinsip kami dan kami akan sentiasa mendengar suara rakyat - itu yang paling penting," kata sumber itu.

Seorang lagi pemimpin DAP dari Semenanjung Malaysia pula berkata tiada sebarang keputusan dibuat untuk parti itu berundur daripada kerajaan Sabah.

"Hubungan dengan kerajaan negeri adalah baik," kata pemimpin itu.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen