Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin mengulangi kebimbangan serius negara terhadap perkembangan di Laut China Selatan yang boleh mengancam keamanan, keselamatan dan kestabilan rantau ini.
Mohamed Khaled juga menekankan kepentingan kebebasan pelayaran dan penerbangan mengikut undang-undang antarabangsa.
Menteri terbabit menyatakan pendirian itu dalam kenyataan bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles, semasa pertemuan mereka sempena Mesyuarat Jawatankuasa Tinggi bagi Program Pertahanan Malaysia-Australia ke-4 di Melbourne hari ini.
Kedua-dua menteri turut menggalakkan semua pihak supaya mengawal diri dalam menjalankan aktiviti dan mengelak daripada tindakan yang boleh meningkatkan risiko kemalangan, salah faham serta salah tafsir.
Mereka juga menekankan keperluan untuk semua negara menyelesaikan pertikaian berkaitan isu Laut China Selatan secara aman, mengikut prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.
Kedua-dua menteri menyatakan sokongan mereka terhadap keutamaan Asean dan seni bina serantau yang diterajui blok itu yang bersifat terbuka, telus, berasaskan peraturan dan inklusif serta sokongan berterusan terhadap pelaksanaan praktikal Pandangan Asean di Indo-Pasifik.
Mereka turut mengiktiraf nilai Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean Plus bersama kumpulan pakar kerja sebagai cara untuk membina keyakinan dan pencegahan konflik serta meningkatkan kapasiti.
- Bernama

