GLOBAL | Setiausaha Agung Parti Gerindra, Ahmad Muzani, berkata parti itu berbesar hati sekiranya presiden ketujuh Indonesia, Joko Widodo - atau lebih dikenali sebagai Jokowi - menyertai mereka sebagai ahli.
Bercakap di Kompleks Parlimen di Jakarta semalam, Muzani menegaskan pada dasarnya parti pimpinan Presiden Prabowo Subianto itu terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk menyertainya
“Namun, keputusan muktamad tetap terletak pada beliau (Jokowi), dan kami (Gerindra) akan mengadakan kongres pada Feb tahun depan,” katanya seperti dipetik agendi berita Antara.
Muzani yang juga Speaker Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) berkata demikian ketika mengulas pertemuan di antara Prabowo dan Jokowi di kediaman presiden terbabit di Jakarta pada Jumaat lalu.
Dia juga menjelaskan bahawa Gerindra tidak secara khusus menawarkan keahlian kepada bekas presiden itu semasa pertemuan berkenaan.
“Namun, secara prinsipnya, Gerindra adalah sebuah parti yang terbuka,” katanya.
Dia turut menjelaskan bahawa Jokowi menyertai Prabowo untuk makan malam atas jemputan Prabowo sebagai respons kepada pertemuan di kampung halaman Jokowi di Solo, Jawa Tengah, pada 3 Nov lalu.
“Kunjungan sebegini adalah tradisi biasa. Orang saling kunjung-mengunjungi.
"Pak Jokowi merasakan perlunya melawat Pak Prabowo selepas kunjungan Pak Prabowo ke Solo,” katanya.
Dia berkata kedua-dua tokoh nasional itu hanya membincangkan perkara ringan semasa pertemuan pada Jumaat lalu.
Pada 4 Dis, Setiausaha Agung Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) Hasto Kristiyanto mendedahkan bahawa Jokowi tidak lagi menjadi ahli parti tersebut.
Menurutnya, Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka - yang juga anak Jokowi - serta bekas Datuk Bandar Medan, Bobby Nasution, tidak lagi mempunyai hubungan dengan PDIP.
“Saya tegaskan bahawa Pak Jokowi dan keluarganya bukan lagi sebahagian daripada PDIP,” kata Hasto di Jakarta.
- Bernama/Antara

