Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng hari ini telah memfailkan notis kebankrapan terhadap Pengerusi PN Muhyiddin Yassin susulan keputusan mahkamah yang memerintahkan Muhyiddin membayar ganti rugi fitnah sebanyak RM1.35 juta kepada Lim.
Bagaimanapun, pasukan guaman Muhyiddin memfailkan permohonan untuk menangguhkan keputusan tersebut sementara menunggu rayuan bagi membatalkan keputusan itu.
Peguam Chetan Jethwani yang mewakili bekas perdana menteri itu mengesahkan pasukan guaman Lim daripada firma Guok Partnership telah mengemukakan permohonan kebankrapan tersebut. Bagaimanapun, dia mendakwa pasukannya dan Muhyiddin masih belum menerima salinan notis kebankrapan itu.
Pada 8 November, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Muhyiddin memfitnah Lim berhubung dakwaan pembatalan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary.

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain memerintahkan Muhyiddin membayar RM1.35 juta sebagai ganti rugi kepada Lim, selain menanggung kos guaman sebanyak RM50,000. Dalam penghakimannya, Roz Mawar berkata Muhyiddin gagal mengesahkan dakwaannya sebelum membuat kenyataan terbabit kepada media dan mendapati tuduhan itu tidak berasas.
Hakim berkata ahli parlimen Pagoh tidak cuba untuk mengesahkan kenyataan sebelum mengeluarkan dakwaan itu yang tidak berasas.
Roz menegaskan keterangan Lim — yang menyatakan dia tidak pernah mengeluarkan sebarang surat untuk membatalkan status pengecualian cukai yayasan itu — tidak terjejas sepanjang perbicaraan penuh.
Hakim juga mencatatkan saksi pihak Muhyiddin sendiri — seorang pegawai dari Kementerian Kewangan — yang mengesahkan Lim, semasa memegang jawatan menteri kewangan tidak pernah mengeluarkan sebarang surat yang mengandungi kenyataan sedemikian.

“Kenyataan tersebut bukan sahaja tidak benar tetapi berpotensi membawa kesan buruk di dalam negara berbilang budaya,” kata hakim sambil menegaskan dakwaan itu serius kerana ia mencadangkan Lim telah menyalahgunakan kuasa yang melibatkan sebuah yayasan amal Islam.
Saman ini berkait fitnah Muhyiddin bahawa Lim ketika menjadi menteri kewangan telah meluluskan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary semasa pentadbiran PH.
Butiran pampasan yang diputuskan oleh mahkamah sivil RM350,000 untuk setiap tiga kenyataan yang membawa kepada jumlah RM1.05 juta bagi ganti rugi umum, ditambah RM150,000 untuk ganti rugi teruk dan RM150,000 untuk ganti rugi teladan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan RM1.35 juta.
[Baca berita asal]

