malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
ULASAN | Aspirasi besar Zahid perlu dilaksanakan
ADS

Ucapan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) sempena Sambutan Jubli Emas BN ke-50 pada 7 Disember membuatkan ramai terpegun kerana ia benar-benar memperlihatkan satu perubahan naratif yang ketara dalam kepimpinan BN.

Beliau tidak hanya menyampaikan harapan baru, tetapi juga memberikan hala-tuju jelas tentang bagaimana BN boleh kembali menjadi kuasa dominan dalam politik Malaysia.

Penekanan terhadap dasar-dasar progresif, pendekatan proaktif, inklusif dan inovatif, serta budaya politik baru yang mengutamakan meritokrasi dan intelektualisme menunjukkan bahawa BN bersedia mendepani cabaran masa depan dengan lebih dinamik dan fleksibel.

Ucapan Zahid menunjukkan bahawa beliau memahami denyut nadi rakyat. Penekanan kepada politik berasaskan keperluan seperti kos sara hidup, pendidikan dan kesihatan membuktikan BN kini benar-benar fokus kepada isu-isu yang dekat di hati rakyat. Ini langkah yang tepat kerana rakyat tidak lagi tertarik kepada politik retorik kosong atau sentimen kaum semata-mata.

Zahid sedar semua ini. Denyut nadi rakyat perlu dicungkil secara sistematik. Sebab itu beliau menyebut: “Anjakan mesti dilakukan dengan memanfaatkan teknologi, data dan media sosial yang semakin mendominasi pola pemikiran politik rakyat. Malah, gerak kerja kita hari ini mesti diperkuatkan dengan data analitik dan strategi digital yang ampuh.”

Ayat-ayat lain yang Zahid lontarkan semuanya menyentuh mengenai rakyat seperti:

(1) Pemimpin harus menjadi penyelesai masalah yang cekap dan fokus kepada dasar berimpak besar kepada rakyat.

(2) Kadang kala, bukan wang yang diperlukan tetapi keberadaan kita jauh lebih dirasai bila kita mendengar dan menyelesaikan masalah mereka.

(3) Rakyat mahukan solusi konkrit untuk cabaran kehidupan harian.

(4) Rakyat mahu melihat kita tampil dengan dasar-dasar progresif yang membina masa depan negara.

(5) Kita perlu meneroka norma baru dalam politik - beralih kepada isu-isu yang dekat di hati rakyat seperti kos sara hidup, pendidikan dan kesihatan.

Penekanan Zahid terhadap dasar-dasar progresif menjadi kunci untuk menjadikan BN relevan semula. Namun, apa itu dasar-dasar progresif? Iltizamnya sudah ada tinggal lagi keperluan untuk mengoperasikannya sahaja. Oleh itu, apa yang perlu BN lakukan ialah menjelas dan memperincikan dasar-dasar ini dalam bentuk pelan tindakan yang boleh difahami dan dirasai manfaatnya oleh rakyat.

Zahid dengan bijak menekankan keperluan untuk BN bersikap lebih terbuka dan inklusif. Contohnya:

• Proaktif: BN mesti tampil dengan solusi sebelum isu menjadi krisis, misalnya memanfaatkan data analitik untuk meramalkan cabaran sosio-ekonomi rakyat.

• Inklusif: Melibatkan lebih banyak suara muda, wanita dan komuniti pelbagai kaum. Ini termasuk program keusahawanan teknologi dan penyediaan sokongan penjagaan anak untuk ibu muda.

• Inovatif: Menggunakan teknologi seperti media sosial untuk menyampaikan mesej yang relevan kepada generasi digital.

Pendekatan budaya politik baru berasaskan meritokrasi dan Intelektualisme juga adalah satu lonjakan paradigma yang penting. Zahid menyeru agar BN:

• Mengutamakan calon yang layak dan berkemampuan: Ini menghilangkan kebergantungan kepada legasi dan menonjolkan pemimpin yang relevan.

• Fokus kepada intelektualisme: Pemimpin perlu menjadi penyelesai masalah yang cekap, berdasarkan data dan fakta.

Tindakan Umno memulakan Sekolah Politik di bawah Biro Latihan dan Perkaderan Umno yang akan menyediakan teori dan amali kepimpinan dengan fokus kepada ilmu asas kenegaraan, perlembagaan, dinamika politik demokrasi, politik khidmat dan bakti kepada rakyat bermula awal tahun hadapan adalah satu langkah yang tepat.

Langkah yang boleh diambil oleh BN pula memperkuatkan pusat pemikiran (think tank) dan badan penyelidikan BN untuk mengumpulkan pakar-pakar yang boleh memperinci dan mengoperasikan semua aspirasi besar yang telah dilakar oleh Zahid ini dalam bentuk gerak kerja konkrit.

Forum Rekalibrasi Barisan: Perspektif Intelektual Untuk Masa Depan yang diinisiatifkan oleh Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, di Menara Dato’ Onn pada 5 Disember lalu membabitkan Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia dan Profesor Dr Wong Chin Huat dari Universiti Sunway adalah satu permulaan yang baik.

Zahid juga menyentuh aspek yang paling asas – keberadaan dan mendengar. Ini bukan sekadar retorik tetapi menuntut perubahan dalam gerak kerja lapangan. Contohnya ialah mengadakan sesi mendengar di kawasan pedalaman untuk memahami isu di peringkat akar umbi. Ia termasuk juga menyelesaikan isu rakyat secara langsung dengan memanfaatkan kolaborasi bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tumbuh bagi cendawan di negara ini mahupun sektor swasta.

Tegasnya, ucapan Zahid jelas mencerminkan bahawa BN telah berubah dan bersedia untuk masa depan. Namun, perubahan naratif sahaja tidak mencukupi. BN mesti segera mengoperasikan semua idea ini ke dalam bentuk gerak kerja yang tersusun dan menyeluruh.

Dengan strategi progresif yang jelas, pemimpin yang berwibawa, dan pendekatan mesra rakyat, BN boleh kembali menjadi parti yang diterima rakyat. Masa depan menuntut keberanian untuk berubah, dan ucapan ini menunjukkan bahawa Zahid dan BN telah bersedia melangkah ke arah itu.


PROFESOR DR RUSDI OMAR ialah Dekan di Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen