malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
BN sepakat mahu lihat Najib dikeluarkan dari penjara
ADS

Pemimpin tertinggi BN hari ini mengulangi komitmen mereka untuk memperjuangkan pembebasan Najib Razak dari penjara - selepas disabitkan atas kesalahan rasuah.

Dalam ucapan mereka pada sambutan Ulang Tahun BN yang ke-50 di Kuala Lumpur, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MCA Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, senada berhubung kehendak mereka mengenai Najib.

Saravanan misalnya mengingatkan bahawa masyarakat India terhutang budi kepada bekas perdana menteri itu yang didakwanya banyak berjasa.

Justeru, katanya, MIC berharap BN dapat melakukan sesuatu untuk membolehkan Najib tidak lagi berada di sebalik jeriji jel.

"Dialah perdana menteri pertama yang betul-betul ikhlas untuk menaik taraf sosioekonomi masyarakat India.

"Dialah perdana menteri pertama yang jadi pengerusi jawatankuasa kabinet untuk komuniti India. Dia PM pertama yang beri lesen-lesen baru untuk sekolaj-sekolah Tamil.

"Dialah juga PM pertama yang menubuhkan amanah saham nasional untuk masyarakat India," katanya.

M Saravanan

Ketika ini, kata Ahli Parlimen Tapah itu lagi, orang ramai mendengar khabar bahawa ada titah tambahan dikeluarkan oleh Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

Titah tambahan itu menyebut agar Najib dibenarkan menjalani baki hukuman penjaranya di rumah.

Untuk rekod, sebelum ini Najib sudah diberikan potongan tempoh tahanan penjar daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda yang asalnya dikenakan - RM210 juta - dikurangkan kepada RM50 juta.

Pada 23 Ogos 2022 ahli politik dan anak bekas perdana menteri kedua Malaysia itu diarah ditahan di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

Ada atau tidak?

Najib, 71, disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram bernilai RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Anak Najib, Nizar, pada 5 Dis lalu mengemukan afidavit mengesahkan Al-Sultan Abdullah - kini sebagai Sultan Pahang - memaklumkan kepadanya bahawa memang ada titah tambahan agar ahli politik terbabit menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Kata Saravanan BN perlu bersama-sama melakukan sesuatu untuk membebaskan Najib.

“Saya hanya menyampaikan apa yang rakyat mahukan,” katanya.

Wee pula menggesa agar kerajaan memberikan jawapan yang jelas sama ada perintah tambahan itu wujud atau sebaliknya.

Katanya, sebelum ini ada beberapa pengakuan dibuat mengenai kewujudan titah tambahan mengenai Najib, dengan afidavit Nizar menjadi yang paling baru.

Wee Ka Siong

"Apabila saya baca (mengenai laporan dan dakwaan mengenai titah tambahan tersebut), saya kata, apa ni... ada atau tak ada?

"Jangan putih dihitamkan, yang hitam diputihkan. Hakikatnya cuma satu: ada atau tidak? Jawapannya mudah," katanya.

Dalam isu mengenai Najib, kata Wee, integriti BN sedang diperhatikan.

"Tidakkah seorang banduan ada hak? Kalau dah dirayu dan dapat keputusan, jalankanlah tanggungjawab kita," katanya yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam.

Tak sedetik pun lupa

Susulan itu Ahmad Zahid yang berucap di akhir majlis berikrar untuk meneruskan perjuangan mereka membela Najib.

Tambahan pula, katanya, dia bersahabat dengan Najib sejak 1987, justeru mustahil untuknya melupakan bekas Ahli Parlimen Pekan berkenaan.

“Kami amat memahami sentimen MCA dan MIC, dan perasaan PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) dan rakan-rakan lain dalam Umno.

Ahmad Zahid Hamidi

“Dalam mesyuarat bulanan Majlis Kerja Tertinggi Umno, tidak sekali pun kami terlupa untuk menjadikan isu ‘Bossku’ sebagai sebahagian daripada agenda kami.

"Mustahil untuk kita melupakan beliau (tetapi) kita ada halangan, kita ada kekangan (dan) ini difahami oleh keluarga, ini difahami oleh beliau sendiri.

"Tetapi yakinlah Umno dan BN tidak akan sedetik pun tidak memperjuangkan dan melupakan nasib Bossku yang berada di belakang tabir besi sekarang," katanya.

Pada masa sama timbalan perdana menteri itu memberitahu ada beberapa perkara yang boleh dikongsikan dengan orang ramai manakala sebahagian yang lain tidak dapat didedahkan.

"Kita bersimpati... berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Dan kita tahu, bukan mudah beliau menghadapi ujian ini.

"Namun saya amat yakin bahawa ada cahaya yang terang akan terus datang dari hujung terowong," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen