Menegaskan bahawa setakat ini pihak kerajaan negeri sekadar membuat penafian dan tidak mencabar ketulenan rakaman video tular didakwa amalan rasuah, Warisan mengingatkan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), ada isu yang lebih besar perlu difahami.
Dalam kenyataan dikeluarkan petang ini, Warisan berkata, persoalan yang perlu dijawab oleh mereka ialah, adakah ketua menteri dan Adun terbabit menerima sejumlah wang pendahuluan daripada pihak lain sebagai balasan atas kelulusan lesen mencari gali (PL).
Menurut Ketua Penerangan Warisan, Mohd Azis Jamman, perlu diingat ialah Adun PGRS sendiri mengakui bahawa kelulusan PL berkenaan diberi sebagai balasan atas sokongan mereka kepada Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.
"Persoalan sama ada kelulusan itu telah ditarik balik oleh ketua menteri atau sebaliknya, bukanlah perkara asas dalam kes video yang telah ditularkan.
"Perkara asasnya ialah, benar atau tidak sejumlah wang telah diterima oleh pemimpin-pemimpin tersebut sebagai habuan atas usaha mereka memohon kelulusan PL setelah mereka memberikan sokongan kepada ketua menteri.
"Itu adalah pengakuan mereka sendiri di dalam video tersebut," katanya.
Dakwaan berlaku skandal rasuah di Sabah mula menjadi perhatian selepas sejumlah rakaman video didedahkan oleh pembocor maklumat dan dilaporkan Malaysiakini.
Cukup untuk mulakan siasatan
Selain Hajiji, beberapa Adun Sabah juga terpalit dengan dakwaan tersebut. Bagaimanapun Hajiji menafikan dia menyembunyikan sesuatu dan menganggap pendedahan berkenaan dibuat oleh pihak yang tidak berpuas hati terhadap kerajaan negeri.
Hajiji juga mendesak agar pembocor maklumat terbabit ditangkap dan disiasat terlebih dulu.
Ada antara Adun itu pula mendakwa rakaman yang disebarkan itu sudah disunting dan tidak menggambarkan konteks keseluruhan apa yang mereka bincangkan.
Mohd Azis berkata mengikuy Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, tindakan mendapatkan dan menerima wang sebagai pendahuluan bagi kelulusan permohonan boleh dianggap sebagai satu imbuhan, sekali gus menjadi kesalahan.
Berdasarkan situasi yang berlaku, katanya, ia sudah boleh dikategorikan sebagai menerima rasuah mengikut Seksyen 16 Akta SPRM.
Menerima wang pendahuluan daripada individu sebagai balasan untuk mendapatkan kelulusan daripada ketua menteri, dan kelulusan ketua menteri pula dianggap sebagai hadiah atas sokongan wakil rakyat tersebut juga boleh dianggap sebagai suapan.
Keadaan itu, kata Mohd Azis, melibatkan konflik kepentingan kerana sokongan tidak diberikan secara bebas sebaliknya berdasarkan ganjaran yang diterima.
"Kenyataan ketua menteri bahawa kerja-kerja melombong belum dimulakan juga tidak relevan dalam konteks ini.
"Isu utamanya ialah, wakil-wakil rakyat PGRS mengaku telah menerima wang sebagai jaminan untuk kelulusan lesen dan hakikat bahawa lesen juga telah lulus adalah bukti menunjukkan peranan wakil-wakil rakyat untuk mendapatkan kelulusan itu sebenarnya berlaku.
"Walaupun akhirnya kelulusan ditarik balik, namun wang sudah bertukar tangan," katanya lagi.
Tambahan pula, kata Mohd Azis, pendedahan dokumen, surat, dan minit mesyuarat serta nota minit ketua menteri menunjukkan bahawa kelulusan telah dibuat, yang membawa kepada pembayaran wang pendahuluan oleh pemberi maklumat.
"Hakikat ini sahaja sudah cukup untuk memulakan siasatan," katanya.
Dia turut mengingatkan bahawa tidak wajar pembangkang dituduh menjadi dalang dalam isu berkenaan kerana pihak yang terlibat ialah pemimpin dalam kerajaan dan pembocor maklumat memang sejak awal berurusan dengan mereka.
"Jangan bermain play victim kerana - sekali lagi - tiada penglibatan para pemimpin pembangkang sama ada dari segi yang dirakam mahu pun yang merakam.
"Kenyataan-kenyataan tersebut dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin PGRS sendiri.
"Pengakuan-pengakuan sama ada memberi atau menerima juga adalah di antara pemimpin PGRS dan pemberi maklumat, bukan daripada kalangan pembangkang.
"Oleh itu jangan cuba menutup malah menyalahkan pembangkang dalam kes ini," katanya.