malaysiakini logo
story-image
ADS

Presiden MCA, Wee Ka Sion menyeru pimpinan BN supaya menunjukkan semangat bersatu padu agar tidak dibuli oleh pihak lain.

Wee mengungkit pengalamannya 'ditekan' seorang ahli parlimen kerajaan selepas dia membetulkan maklumat Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, bulan lalu.

Jelas Wee, dia hanya menegur data Rafizi mengenai Hab Pangkalan Data Pusat (Padu) tidak konsisten, tetapi akhirnya dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen oleh Ahli Parlimen Kampar daripada DAP Chong Zhemin.

"Kita ini (dikata) macam duri dalam daging. Apa ini?

"Sebab itu saya kata, kita BN jangan dibuli. Pantang kita dibuli. Kita pernah jadi kerajaan, kita pernah jadi pembangkang, tak apa. Kita kena hormat pandangan berlainan. Kita tak ada apa-apa dah. Takkan kebebasan bersuara saya juga disekat.

"Sebab itu saya cadangkan, selepas ini kalau Saravanan atau mana-mana ahli parlimen dari Umno, kalau mereka diserang oleh mana-mana tak kira blok kerajaan ataupun Pakatan (Harapan), saya akan bangkit membantu mereka.

“Inilah semangat sejati BN. Kita diibaratkan sebagai aur dengan tebing. Kita adik-beradik.

“Kalau boleh, 30 orang, siapa nak buli Wee Ka Siong, siapa nak buli Saravanan, you kena tengok pasukannya ialah pasukan 30 ahli parlimen dari BN," katanya ketika berucap semasa majlis sambutan ulang tahun ke-50 BN di Kuala Lumpur hari ini.

Bulan lalu, pemimpin MCA itu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan selepas dia menuduh Rafizi mengelirukan Dewan Rakyat. Wee berpendapat Rafizi memberikan dua angka berbeza mengenai kos yang perlu ditanggung Putrajaya berkaitan Padu.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis hari ini, Wee menjelaskan ucapannya bertujuan menggesa pemimpin BN bangkit melawan setiap kali ada percubaan pihak lain untuk membuli mereka.

Walaupun beberapa ahli parlimen BN telah menyuarakan sokongan terhadapnya, Wee menegaskan mereka mesti menunjukkan perpaduan yang kukuh.

"Kalau benda itu memang secara terang lagi bersuluh, itu tak betul, kita kena tegur orang itu. Kalau kita membiarkan macam tu akan jadi masalah," katanya.

'Pemimpin BN tapi agungkan parti lain'

Sementara itu, Wee, yang juga bekas menteri pengangkutan, turut menegur pemimpin BN tertentu agar tidak "mengagungkan" parti lain.

Dia mengingatkan pemimpin yang tidak dinamakan itu bahawa dia memenangi kerusi parlimennya di bawah platform BN dan seharusnya meletakkan kepentingan gabungan itu sebagai keutamaan.

"(Ini) adalah satu kerajaan campuran. Bermaksud tak ada orang dapat 112 kerusi majoriti

"Jadi kita kena menjalankan tugas, menggalas tugas sebaik habis saja tempoh ini.

"Jadi saya rasa kita kena faham mandat tu setakat untuk tempoh ini. Jadi untuk BN bangkit balik macam mana? Kita kena menang lah pilihan raya.

"Jadi dalam kes ini kita jangan pula tiba-tiba mengagung-agungkan orang lain.

"Agungkan parti sendiri sebab akhirnya wadah ini yang akan dia gunakan untuk bertanding pada PRU," kata Wee.

Apabila ditanya siapakah ahli politik yang dimaksudkan olehnya, Wee menjawab: "Kita semua adalah orang yang cerdik, dapat meneka apa saya cakap."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen