malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lambang Sari Series menjangkau semua penggemar muzik
ADS

Penganjuran siri kelima Lambang Sari Series (LSS) dengan tema Symphonic Broadway with Sean Ghazi and Friends di Zepp KL pada malam Khamis lalu membuktikan bahawa muzik simfoni tidak hanya terhad untuk kalangan tertentu sebaliknya mampu menjangkau setiap lapisan masyarakat.

Symphonic Broadway dipersembahkan oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) bersama barisan artis tersohor iaitu Sean Ghazi, Christopher Morandi, Ida Mariana, Izen Kong serta artis jemputan - soprano dari Filipina - Lara Maigue.

Persembahan yang terbahagi kepada dua segmen, Act One dan Act Two, dan berlangsung selama dua jam itu turut menjadi sambutan penuh bermakna bagi ulang tahun ke-31 OSK, sekali gus menonjolkan kekuatan dan keberanian orkestra Malaysia menghadirkan karya-karya terkemuka antarabangsa di pentas tempatan.

Siri terakhir LSS yang kali ini di bawah pengarahan Sean Ghazi berjaya memberikan pengalaman yang tidak hanya memikat hati peminat muzik simfoni, tetapi juga mereka yang menggemari karya-karya Broadway.

Dalam Act One, penonton dibawa menghayati muzik-muzik ikonik dari The Phantom of the Opera dan My Fair Lady, diikuti karya-karya terkenal dalam Act Two seperti The King and I, Miss Saigon dan Les Miserables.

Enam puluh enam pemuzik OSK yang diketuai konduktor muzik ‘Abang’ Nasran Nawi pada malam tersebut memainkan peranan penting dalam mewujudkan suasana dengan permainan sehabis baik daripada setiap anggota orkestra.

Keharmonian simfoni orkestra diiringi vokal luar biasa yang membawa karakter-karakter terkenal di pentas, menambah lapisan dinamik dan warna kepada setiap persembahan.

Rata-rata penonton terpukau dengan kepaduan suara Lara Maigue yang membawakan All I Ask of You dari teater muzikal The Phantom of the Opera bersama Christopher Morandi, bariton lirik dari AS, juga lontaran vokal tenor tempatan Izen Kong untuk lagu Till I Hear You Sing dari Love Never Dies.

Meskipun muzik simfoni sering dianggap eksklusif dan hanya untuk penggemar seni muzik klasik, usaha Istana Budaya melalui LSS membuktikan bahawa keindahan simfoni mampu menarik minat pelbagai golongan.

Dengan memainkan karya-karya ternama dan menggabungkan aspek simfoni dengan kehebatan nyanyian, LSS turut membuka lebih banyak peluang baru bagi OSK untuk menjalin hubungan lebih erat dengan komuniti yang lebih luas.

Menurut Nasran, LSS telah dikenali ramai dan berjaya menjadi jenama unik OSK walaupun pada awalnya ia bermula sebagai persembahan kecil atau selingan.

Jenama Lambang Sari Series telah diperkenalkan pada 2008 sebagai salah satu pengisian pakej lawatan berpandu Istana Budaya, bertujuan memperkenalkan simfoni kepada orang ramai yang mungkin tidak berpeluang mengenali genre muzik tersebut.

“Kejayaan pelaksanaan LSS tahun ini akan diteruskan dengan perancangan beberapa siri lagi pada 2025, dan OSK berharap agar ia dapat menarik lebih ramai penggemar muzik untuk hadir,” tambahnya lagi.

Pada masa yang sama, LSS turut memberi kesempatan kepada masyarakat tempatan untuk lebih mengenali alat muzik klasikal Barat.

LSS Symphonic Broadway adalah program kedua terakhir dalam kalendar persembahan tahun ini untuk Istana Budaya bersama rakan strategik berikutan penutupan bangunan Panggung Sari untuk kerja-kerja penggantian bumbung yang dijangka siap pada 2026.

Selain Zepp KL, Istana Budaya telah mementaskan produksi teater, tari dan muzik jabatan tersebut di Dewan Filharmonik Petronas, Encore Melaka dan beberapa universiti awam kerana tanpa pentas sendiri pun, the show must go on.

LSS bukan sahaja meraikan keupayaan OSK sebagai sebuah orkestra yang berprestij tetapi juga memperkenalkan kepelbagaian seni muzik kepada masyarakat yang lebih luas, membuktikan bahawa muzik simfoni tidak terhad kepada kelompok tertentu sahaja.

Lambang Sari Series 5 Symphonic Broadway with Sean Ghazi and Friends telah dibawakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) bersama HSBC Malaysia dengan sokongan BoboKL.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen