malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Skandal rasuah Sabah: SPRM ulang janji siasatan adil, telus
ADS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengulangi jaminannya untuk menjalankan siasatan secara adil dan telus terhadap skandal rasuah yang melibatkan pemimpin-pemimpin negeri Sabah.

"Seperti yang saya sudah katakan, siasatan sedang dijalankan dan kami akan menyiasat secara adil dan profesional," kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki melalui mesej ringkas pagi ini.

Bagaimanapun, dia enggan memberikan ulasan lanjut apabila ditanya lebih terperinci mengenai siasatan tersebut.

Malaysiakini menghubungi Azam untuk mendapatkan maklum balasnya terhadap tekanan yang semakin meningkat daripada pelbagai pihak, termasuk parti politik, yang mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap dakwaan rasuah membabitkan beberapa Adun Sabah.

Mereka didakwa menerima suapan untuk menyokong permohonan lesen prospek perlombongan.

Pada Selasa lalu, seorang pemberi maklumat telah mendedahkan tujuh video yang mengaitkan beberapa Adun Sabah dalam perbincangan berkaitan rasuah sebagai pertukaran untuk menyokong permohonan lesen prospek sumber mineral oleh pemberi maklumat itu.

Pendedahan ini menyusul selepas empat video lain yang didakwa memaparkan perbincangan tersebut didedahkan bulan lalu, dengan dua daripada klip itu tidak lengkap.

Susulan itu, Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa SPRM untuk menjelaskan status siasatan, termasuk siapa sebenarnya yang disiasat - sama ada Adun yang terlibat, pemberi maklumat atau kedua-duanya.

Dia juga mencadangkan agar Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor meletakkan jawatan sementara jika SPRM mendapati dakwaan rasuah terhadanya atau anggota pentadbirannya itu mempunyai asas.

Warisan, sebuah parti pembangkang di Sabah, turut mendesak agar SPRM menahan reman individu-individu yang terlibat bagi memudahkan siasatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen