Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, meluahkan rasa terkejut terhadap tindakan Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) membuat laporan polis terhadap laman webnya berhubung dakwaan “palsu” dalam dua artikel mengenai aktiviti pembalakan di negeri itu.
“Saya tak tahu nak kata apa,” kata wartawan yang berpangkalan di UK itu kepada Malaysiakini.
“Saya melaporkan fakta, dan mereka (JPS) mengesahkannya. Jadi, apa yang anda adukan? Saya telah bertanya soalan, tetapi anda tidak menjawabnya,” tambahnya.
Rewcastle-Brown menjelaskan bahawa dia menyiasat isu tersebut selepas penduduk tempatan menyuarakan kebimbangan mengenai aktiviti pembalakan yang berterusan.
“Saya dapat gambar daripada aktivis tempatan pada 21 November dan meneliti fakta tersebut. Kamu (JPS) dakwa pokok-pokok yang ditebang itu berpenyakit, tetapi ia sedang dimuatkan ke dalam tongkang untuk dieksport.
“Mereka (JPS) juga menuduh saya ‘memalsukan kenyataan akhbar’ yang disandarkan kepada mereka. Saya tidak pasti bahagian mana yang didakwa palsu. Mereka perlu menjelaskan perkara ini,” tambahnya.
JPS merujuk kepada dua artikel diterbitkan Sarawak Report bertajuk "Illegal Logging in Sabah! (by the state government)” yang diterbitkan pada 1 Disember dan Sabah Forestry Admits Log Extraction and Export – Says Timber is Disease-Ridden” pada 3 Disember.
Jabatan itu menyifatkan artikel-artikel tersebut sebagai mengandungi tuduhan tidak berasas dan salah tafsir terhadap aktivitinya.
Dakwaan pembalakan haram
Dalam artikel yang diterbitkan pada 1 Disember, Sarawak Report mendakwa pembalakan haram sedang berlaku di Sabah, dengan menyatakan:
“Pemandangan trak pembalakan keluar dari Sipitang dengan balak haram dalam beberapa hari kebelakangan ini menafikan anggapan bahawa undang-undang terpakai sama rata kepada semua pihak di Sabah.”
Artikel itu juga mengetengahkan pertikaian melibatkan bekas pekerja Sabah Forest Industries (SFI) yang muflis.
Ia mendakwa “pembeli pemangsa”, dengan bantuan kerajaan negeri, didakwa mengeksploitasi hasil balak tanpa membayar hak yang sepatutnya, sekali gus meninggalkan komuniti tempatan tanpa sokongan kewangan atau perkhidmatan asas seperti elektrik dan air.
Rewcastle-Brown menjelaskan bahawa artikelnya mengetengahkan hujah plaintif SFI dalam kes mahkamah.
“Mereka (JPS) cuba mengatakan ini adalah tuduhan peribadi saya. Padahal ini adalah inti pati tuntutan mahkamah tersebut,” jelasnya.
Sebagai respons, Ketua Konservator Hutan JPS, Fred Kugan, berkata royalti telah dikutip bagi penebangan pokok Acacia mangium mengikut Peraturan Hutan 1969.
Pokok berpenyakit
Dalam artikel pada 3 Disember, Sarawak Report mendakwa aktiviti pembalakan diteruskan di kawasan lesen SFI walaupun terdapat perintah mahkamah pada 8 November untuk menghentikan operasi.
Ia turut mempersoalkan mengapa pokok-pokok yang didakwa berpenyakit akibat jangkitan kulat Ceratocystis manginecans dieksport, bukan dimusnahkan di lokasi untuk mencegah penyebaran penyakit tersebut.
Artikel itu bertanya: “Jika pokok-pokok ini berpenyakit, mengapa berbangga mengeksportnya? Di manakah proses kuarantin untuk mencegah penyebaran penyakit ini ke Sarawak?”
Ia juga mendakwa kayu balak tersebut dihantar ke Bintulu, Sarawak, di mana Yayasan Sabah mempunyai kontrak untuk membekalkan bahan bakar kepada loji pelebur aluminium Press Metal.
Kugan menjelaskan bahawa JPS, dengan kerjasama Yayasan Sabah, sedang menangani wabak penyakit Ceratocystis dan telah membincangkan isu ini secara terbuka dalam sidang Dewan Undangan Negeri pada November.
Dia menafikan dakwaan itu dengan tegas, menyifatkan ia sebagai tuduhan “berniat jahat dan tidak bertanggungjawab”.
JPS turut menyeru orang ramai supaya tidak mempercayai tuduhan tersebut, yang didakwa bertujuan menjejaskan kredibiliti jabatan itu.
Sebagai respons, Rewcastle-Brown berkata alasan mengenai “pokok berpenyakit” itu hanya dibangkitkan beberapa minggu selepas perintah mahkamah dikeluarkan.
“Mengapa ia tidak disebut kepada mahkamah atau kepada SFI yang telah meminta aktiviti pembalakan dihentikan?” soalnya lagi.