Umno Sabah mendesak agar Ketua Menteri, Hajiji Noor, serta Adun yang terpalit dengan dakwaan skandal di negeri itu mengambil tindakan undang-undang ke atas pembocor maklumat.
Gesaan itu dibuat Umno Sabah selepas individu yang bertanggungjawab mendedahkan kandungan video tersebut mencabar Hajiji agar menyamannya.
Ketua Penerangan Umno Sabah, Suhaimi Nasir, berkata dakwaan rasuah itu bukan saja merosakkan reputasi Hajiji dan kerajaan negeri, malah turut menjejaskan kepercayaan rakyat serta pelabur.
“Kerajaan negeri bertanggungjawab memastikan ia beroperasi dengan penuh integriti dan bebas daripada sebarang unsur fitnah atau tohmahan tidak berasas.
“Oleh itu, ketua menteri dan Adun yang terlibat perlu membuat laporan polis dan memfailkan saman untuk menyampaikan mesej yang tegas bahawa tuduhan palsu tidak boleh diterima dan kebenaran dapat ditegakkan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Suhaimi yang juga Ahli arlimen Libaran itu menegaskan dia sendiri akan memantau perkembangan isu tersebut dan memberikan sokongan penuh kepada mana-mana pihak yang berusaha menegakkan kebenaran dan keadilan.
Pandangan sama turut disuarakan oleh Ketua Pemuda Umno Kalabakan, Mohammed Alias Udin, yang menganggap dakwaan rasuah itu adalah seperti "taufan besar" yang melanda Sabah.
Katanya, dia meneliti penafian dibuat oleh pihak yang dituduh dengan ada antara mereka sekadar mendakwa video terbabit sudah disunting.
Sebagai anak muda Sabah, kata Alias, dia mahu melihat kebenaran dan keadilan ditegakkan.
Justeru, katanya, Pemuda Umno Kalabakan mencabar Adun terbabit membuat laporan polis dan menyaman individu yang menyebarkan video tersebut.
Langkah itu, katanya, akan membolehkan pihak yang terlibat membersihkan nama masing-masing selepas mendakwa mereka difitnah.
“Saya berasa pelik kerana saya difahamkan sehingga hari ini, tiada seorang pun Adun terbabit membuat laporan polis terhadap penyebar itu.
“Kenapa? Jangan takut, berani kerana benar,” katanya.
Untuk rekod, sekurang-kurangnya seorang Adun, Arsad Bistari (Tempasuk) sudah membuat laporan polis dengan mendakwa perbualannya dalam video itu telah disunting. Laporan itu dibuat pada 17 Nov lalu.