Kerajaan dan Kementerian Pertahanan menjalankan kajian terperinci secara kuantitatif dan kualitatif terhadap pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0.
Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata beberapa kajian akademik itu dibuat bagi mengukur impak pelaksanaan program berkenaan, selain statistik penglibatan belia, kadar kepuasan peserta dan pengukuran tahap patriotisme yang menunjukkan hasil positif.
“PLKN 3.0 akan dilaksanakan dengan konsep dan format baru untuk warganegara Malaysia berumur 17 tahun dan ke atas mulai tahun 2025.
"Konsep dan format baru ini mengambil kira penilaian terhadap pelaksanaan PLKN yang terdahulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dia berkata demikian sebagai menjawab cadangan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia, Saifuddin Abdullah, supaya kerajaan tidak meneruskan pelaksanaan PLKN 3.0.
Mohamed Khaled berkata objektif pelaksanaan semula program itu jelas iaitu sebagai wadah pembentukan generasi baru yang menitikberatkan semangat patriotisme, mengamalkan nilai-nilai murni, sentiasa memupuk semangat perpaduan dan menanamkan semangat kesukarelawanan.
“Pada masa yang sama, PLKN 3.0 berperanan memupuk minat anak muda menceburi bidang ketenteraan serta menyumbang kepada negara.
"Atas dasar itu, PLKN 3.0 tidak boleh hanya dilihat sebagai latihan asas ketenteraan semata-mata tetapi program yang turut merangkumi modul kenegaraan (elemen jati diri, cinta negara dan Perpaduan) bagi memenuhi objektif yang telah digariskan,” katanya.
Menurut Mohamed Khaled lagi membandingkan PLKN 3.0 dengan program kerahan tenaga negara-negara luar merupakan langkah tidak setara memandangkan pelaksanaan program berkenaan lebih memfokuskan kepada perkhidmatan ketenteraan yang aktif untuk tempoh yang panjang.
“Bagi memastikan segala kelemahan semasa pelaksanaan PLKN yang terdahulu, Kementerian Pertahanan sedang membuat persediaan rapi untuk melaksanakan latihan percubaan dan projek perintis bagi PLKN 3.0 di kem-kem Askar Wataniah yang akan bermula seawal Jan 2025,” katanya.
Bagi meminimumkan perbelanjaan, Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan akan melaksanakan PLKN di 13 kem Askar Wataniah, 20 universiti awam, institut pendidikan guru (IPG) dan beberapa politeknik di seluruh negara.
“Kementerian Pertahanan berpandangan usaha memupuk patriotisme dan nilai jati diri yang baik dalam diri anak muda bukanlah perkara yang bersifat sampingan, sisipan atau secondary kepada negara.
“Secara rumusan, PLKN 3.0 penting dan kritikal dalam pembinaan negara bangsa.
"Keadaan sekarang merupakan situasi yang sangat menyokong dan mewajarkan pelaksanaan semula program ini,” katanya.
- Bernama