malaysiakini logo
story-image
ADS

Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan dua Adun negeri itu ketika dakwaan skandal rasuah terus menjadi perhatian di negara ini.

Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun, mengesahkan pertemuan itu berlangsung di Putrajaya.

Sebelum itu dia dihubungi Malaysiakini untuk mendapatkan komennya mengenai gambar pertemuan tersebut.

Dalam gambar berkenaan kelihatan Masidi bersama Anwar dan Hajiji serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Ariffin Arif.

"Sekadar pertemuan rutin biasa," kata Masidi ketika ditanya mengenai butiran perjumpaan berkenaan.

Apabila disoal jika isu video dakwaan rasuah dibangkitkan, Masidi membalas: "Ia hanya pertemuan biasa."

Menjelaskan lebih lanjut, Masidi berkata, selain dirinya, Hajiji dan Arifin, ada ramai lagi yang menyertai pertemuan tersebut termasuk wakil dari kementerian kerajaan persekutuan.

Malaysiakini telah menghubungi Ariffin dan Pejabat Perdana Menteri untuk mendapatkan ulasan mereka.

Untuk rekod Masidi adalah seorang daripada ahli politik Sabah yang terkait dengan dakwaan rasuah baru-baru ini. Bagaimanapun dia menafikan dakwaan tersebut.

Malah Masidi menemui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara sukarela pada 3 Dis lalu untuk memberi keterangan ekoran pendedahan melalui video berkenaan.

Seorang pembocor maklumat mendedahkan video yang dikatakan dirakam di pejabat Masidi pada 11 Jan lalu. Melalui rakaman tersebut kelihatan dia berbual dengan menteri terbabit serta dan pembantunya mengenai dakwaan rasuah RM300,000.

Adun Karanaan itu juga memberitahu Malaysiakini, dia tidak ingat perbualan mengenai dakwaan rasuah, tetapi pembocor maklumat terbabit didakwa menawarkan derma politik namun ditolaknya.

Ahli perniagaan yang menjadi pembocor maklumat itu mengeluarkan tujuh rakaman penuh perbincangannya, selepas membocorkan klip suntingan yang melibatkan tujuh Adun Sabah dan Hajiji.

Pada 4 Dis lalu Hajiji sekali lagi menolak dakwaan dia terlibat denngan rasuah dan pendedahan itu dianggap sebagai cubaan untuk menggugat kestabilan kerajaan sabah selain mencemarkan nama baiknya.

Anwar pula setakat ini belum memberikan reaksi terhadap video terbaru itu, namun sebelum ini menegaskan bahawa tiada sebarang perlindungan diberikan terhadap siasatan SPRM.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen