Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kenaikan harga premium insurans kesihatan sedang dirunding semula.
“Bank Negara mahu dimuktamadkan setelah ia dirunding balik.
“Jadi setakat ini prosesnya masih dirunding semula,” katanya ringkas kepada pemberita hari ini.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kenaikan harga perkhidmatan itu yang akan membebankan pengguna.
Terdahulu Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Hayat Malaysia (Liam) Mark O'Dell memaklumkan bahawa premium insurans perubatan akan tetap naik harga tahun depan.
Bagaimanapun, katanya, syarikat insurans bersetuju untuk melaksanakan pelarasan harga semula itu secara beransur-ansur pada masa hadapan.
Sebelum ini, dilaporkan caruman insurans boleh meningkat sebanyak 40 hingga 70 peratus.
Antara membantah kenaikan itu ialah oleh anggota-anggota parlimen PKR dan Senator MIC C Sivarraajh.
Mereka menggesa Bank Negara campur tangan dan menyiasat penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) yang terus menaikkan premium walaupun bank pusat mengarahkan semakan dibuat terlebih dahulu.