Nazifuddin Najib mengingatkan kerajaan PH-BN agar tidak mengambil sikap sambil lewa berhubung titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah agar bapanya, Najib Razak menjalani baki hukuman di rumah.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Ketua Umno Bahagian Langkawi itu berkata rakyat mahu melihat kerajaan PH-BN "jujur dan telus" berhubung perkara itu.
Katanya, kegagalan berbuat demikian bakal menyaksikan kerajaan PH-BN dihukum pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Rakyat kini menuntut undang-undang agar keadilan ditegakkan dengan penuh ketelusan, tanpa sebarang penyelewengan mahupun gangguan kuasa politik dari sentuhan tangan tangan ghaib.
"Rakyat Malaysia ingin melihat kerajaan PH-BN melakukan sesuatu yang jujur dan telus. Andai kerajaan ambil sambil lewa serta membiarkan tangan-tangan ghaib melakukan sesuatu dengan sesuka hati pada perundangan negara berdaulat Malaysia ini, maka jangan terkejut andai nanti kerajaan akan dihukum pada PRU akan datang,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Kenyataan Nazifuddin itu dibuat sehari selepas abang sulungnya Mohd Nizar memfailkan afidavit yang mengesahkan sultan Pahang memberitahu tentang kewujudan titah adendum agar bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun sebagai tahanan rumah.
Menurut Nazifuddin, titah berkenaan telahpun tersebar melata di media sosial, mengukuhkan lagi hak bapanya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.
"Mengapa perlu menyembunyikan kebenaran dan apakah niat sebenarnya pada mereka yang terlibat secara terus perihal titah adendum pengampunan Ayahanda Najib Razak?
"Tindakan ini hanya mendedahkan betapa rendahnya integriti dalam sistem yang kita ada pada hari ini,” tambah Nazifuddin.
Nazifuddin berkata abangnya tidak mungkin tergamak untuk menipu dan memalsukan dokumen dengan menggunakan nama bekas Yang di-Pertuan Agong yang sangat disanjungi dan dihormati.
Takut pengaruh Najib
Dalam pada itu Nazifuddin turut menyelar ahli-ahli politik yang mengatakan titah adendum itu adalah khabar angin dan palsu.
Dia dipercayai merujuk kenyataan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat bulan bahawa titah adendum berkenaan hanyalah khabar angin (hearsay).
"Bagi saya ia adalah pernyataan yang tidak bijak serta terdesak sesetengah ahli politik bersama penyokongnya, yang saya lihat ibarat takut pada kekuatan pengaruh ayahanda yang sekian hari kian jelas menarik sokongan rakyat," katanya.
Menurut Nazifuddin, dia juga difahamkan bahawa dokumen yang diserahkan Nizar pada mulanya boleh diakses melalui sistem fail mahkamah sebegaimana kes jenayah lain, namun kini telah disekat daripada diakses orang ramai.
"Perbuatan ini jelas mencerminkan ketidaktelusan dan kini rakyat Malaysia sedang menilai dan memerhatikan, serta mula mempersoalkan sistem perundangan negara.
"Setiap hari ayahanda Datuk Seri Najib ‘berehat’ dikamar besi Penjara Kajang, yang mana pada pendapat saya ia adalah salah darı segi moral dan dengan titah addendum yang ‘sah’ ini, ia juga adalah tidak patut membiarkan ayahanda terus terkurung bersedirian di sana.
"Sumpah mubahalah ayahnda Datuk Seri Najib Razak telah mula memberi kesan,” katanya.