Keluarga diraja Johor bakal menjadi pemegang saham terbesar dalam syarikat telekomunikasi U Mobile.
Ini susulan keputusan ST Telemedia dari Singapura, yang kini pemegang saham terbesar, menjual sebahagian besar pegangan sahamnya kepada Mawar Setia Sdn Bhd.
Selepas urus niaga ini, yang diumumkan semalam, pegangan ST Telemedia dalam U Mobile akan berkurangan daripada 48.25 peratus kepada 20 peratus. Baki 28.25 peratus saham tersebut akan dimiliki oleh Mawar Setia.
Mawar Setia syarikat yang dimiliki 70 peratus oleh taikun Vincent Tan dan 30 peratus oleh Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, anakanda kepada Sultan Johor.
Pegangan efektif Tunku Aminah dalam U Mobile akan menjadi 8.5 peratus.
Ayahandanya, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memiliki 22.3 peratus saham dalam U Mobile.
Secara gabungan, Sultan Ibrahim dan Tunku Aminah akan memiliki 30.8 peratus pegangan dalam syarikat telekomunikasi itu, menjadikan mereka pemegang saham terbesar.
Penguasaan Vincent Tan dalam U Mobile melalui Mawar Setia sebanyak 19.8 peratus manakala jumlah pegangan keseluruhannya dalam syarikat tersebut, termasuk melalui pemilikan manfaat daripada pemegang saham lain seperti Berjaya Infrastructure dan U Telemedia, dianggarkan sekitar 22.2 peratus.
Anak saudaranya, Diana Tan pula memiliki 0.28 peratus saham dalam U Mobile.
Penyusunan semula pemilikan ini berlaku selepas ST Telemedia bersetuju untuk mengurangkan pegangan sahamnya dalam U Mobile, susulan pelantikan syarikat itu sebagai pengendali rangkaian 5G kedua di Malaysia.
Langkah ini bertujuan mengurangkan pemilikan asing dalam syarikat telekomunikasi tersebut.
ST Telemedia anak syarikat Temasek dari Singapura.
Sebelum ini, Tan pernah mempertahankan Sultan Ibrahim daripada kritikan, menyeru agar tiada pihak membuat tuduhan melulu terhadap Agong berhubung pelantikan U Mobile sebagai pengendali 5G.