Kira-kira tiga bulan selepas kontroversi, Bungkus Kaw Kaw mengumumkan telah mendapat sijil halal.
“Bungkus Kaw Kaw dengan bangganya mengumumkan bahawa jenama ini telah dipersijilkan Halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” kata jaringan restoran itu dalam kenyataan hari ini.
Katanya, langkah itu diambil untuk mengekalkan integriti halal, di samping memberi jaminan berkenaan keselamatan dan kualiti makanan
“Status halal yang dikeluarkan oleh Jakim, berfungsi sebagai penanda aras penting bagi pelanggan Muslim,” katanya.
Awal September lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan bahawa Bungkus Kaw Kaw, selain beberapa lagi restoran sebagai bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Jakim mengeluarkan kenyataan itu susulan tular suratnya berkaitan status sijil halal beberapa jenama, melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) miliknya.

