Siasatan polis berhubung kematian seorang anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Mara (UiTM) sudah lengkap dan akan dihantar ke mahkamah koroner untuk prosiding inkues.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata pihaknya kini hanya menunggu laporan perubatan rasmi termasuk hasil bedah siasat dan makmal daripada pihak hospital sebelum proses tersebut dilakukan.
"Dari segi mendapatkan keterangan saksi, semua telah selesai. Kita (polis) cuma tunggu laporan bedah siasat dan laporan makmal daripada pihak hospital.
"Apabila sudah dapat laporan perubatan dan sebagainya, kita akan hantar maklumat berkenaan ke mahkamah koroner bagi prosiding inkues," katanya kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kuala Langat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, Banting hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya merakam keterangan 34 individu bagi membantu siasatan kes tersebut.
Antara mereka ialah pegawai jurulatih, pegawai perubatan, pelajar serta pengadu.
Dalam kejadian pada 10 Nov lalu, pelajar UiTM berumur 25 tahun itu dikatakan pengsan semasa menyertai sesi latihan di padang kawad sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan, namun dilaporkan meninggal dunia tiga hari kemudian.
Sementara itu, Hussein berkata polis telah bersiap siaga sejak Okt bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) sama ada dalam aspek operasi mencari dan menyelamat atau menjaga keamanan sekiranya berlaku banjir.
"Polis tidak membekukan cuti sepenuhnya bagi anggota dan pegawai tetapi kalau keadaan memerlukan, kita akan panggil balik mereka yang bercuti untuk membantu operasi sekiranya banjir berlaku," katanya.
Terdahulu, Hussein menyempurnakan pemakaian pangkat Ketua Polis Daerah Kuala Langat yang baru, Supt Mohd Akmalrizal Radzi, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Serdang.
- Bernama

