SPRM sepatutnya menyiasat Perdana Menteri Anwar Ibrahim, bukannya bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, kata balu Allahyarham.
Na’imah Khalid membuat kenyataan itu selepas SPRM memaklumkan pihaknya akan meneruskan siasatan ke atas Daim dan keluarganya berhubung pembelian aset di luar negara.
Adalah lebih baik bagi SPRM untuk menggunakan sumber yang ada bagi menyiasat pengakuan perdana menteri sendiri di Parlimen bahawa ahli perniagaan telah membayar perjalanannya ke luar negara.
“Apa yang mereka dapat sebagai habuan? Bukankah itu rasuah?” kata Na’imah dalam kenyataan.
Dia merujuk kenyataan di Parlimen pada 21 November lalu yang kira-kira 70 hingga 80 peratus kos melibatkan perjalanan dan lawatan rasminya ke lima negara awal bulan ini ditampung oleh syarikat swasta yang mengikuti urusan itu.
Anwar kemudian menjelaskan perbelanjaan bahagiannya untuk perjalanan tersebut ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
Anwar juga berkata baki tempat duduk dalam penerbangannya ditawarkan kepada syarikat swasta yang turut pergi ke negara-negara tersebut untuk tujuan pelaburan atau usaha sama.
“Syarikat ini bayar kos masing-masing, berjumlah RM4.5 juta,” katanya ketika itui.
Pada 20 November lalu, Daim dibebas dan dilepaskan daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan aset, kira-kira seminggu selepas pemergiannya.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan permohonan timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin bahawa pihak pendakwaan tidak ingin meneruskan prosiding susulan kematiannya.
Dua hari kemudian, SPRM berkata pihaknya masih meneruskan siasatan dan menjejak kewangan aset Allahyarham dan keluarga.
“Siasatan turut melibatkan isteri Allahyarham Daim, iaitu Toh Puan Na’imah serta ahli keluarganya, dan siasatan tertumpu kepada perolehan aset-aset di luar negara, kata SPRM, sambil menambah siasatan dibuat dengan kerjasama agensi antarabangsa.
Bagaimanapun Na’imah mengingatkan pihak berkuasa yang mahkamah telah melepas dan membebaskan suaminya.
“Apakah kerajaan tidak menghormati keputusan mahkamah?
“Tambahan pula, jejak wang apa? Untuk menyiasat ‘jejak wang’, perlu ada kesalahan rasuah dilakukan terlebih dahulu.
“Jika tiada kesalahan, maka sesuatu aset adalah dikira sah dan hasil usaha keras sama ada di Malaysia atau di tempat lain,” kata Na’imah.
Kata Na’imah lagi, sejak pertengahan tahun lalu, Daim beberapa kali menulis surat kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki untuk bertanya apakah kesalahannya.
“Sehingga akhir hayatnya, mereka gagal memberikan sebarang jawapan. Adakah ini adil?
“Hanya dalam pemerintahan diktator sahaja seseorang disiasat tetapi tidak diberitahu kesalahan mereka,” katanya lagi.
Na’imah turut mengecam Anwar yang menurutnya sentiasa menuduh Daim “mencuri berbilion ringgit” tetapi tidak menyatakan buktinya.
“Adakah adil untuk melemparkan tuduhan tanpa bukti kepada seseorang demi memuaskan nafsu untuk membalas dendam?
“Islam menganggap fitnah sebagai dosa besar dan mereka yang melakukannya dilaknat di dunia dan akhirat,” katanya lagi.