AGM BERSATU | Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata parti itu menyasarkan menang di Pahang, Perak dan Selangor pada PRU akan datang.
Muhyiddin yang juga pengerusi PN berkata demikian ketika menjawab soalan berkenaan kedudukan Bersatu bersama-sama PAS yang pada masa ini mengetuai pentadbiran di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
“Ya betul, di utara bukan negeri kita (Bersatu) tetapi bawah PN. Dan di Pahang dan Perak kita lihat sokongan sudah meningkat.
“Di Selangor, kita kurang sedikit sahaja (kerusi DUN berbanding PH dan BN).
“Kalau tidak menteri besar kita sudah di sini,” katanya sambil memandang dan menggerakkan tangan ke arah Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali.
“Maknanya kita tidak boleh menafikan kemungkinan itu (menang di negeri tersebut).”
Muhyiddin berkata demikian ketika sidang media sempena Perhimpunan Agung Bersatu di Shah Alam, Selangor hari ini.
PAS menerajui keempat-empat negeri pembangkang, dengan tiada satu pun jawatan menteri besar daripada Bersatu.
Parti itu kini memiliki bilangan kerusi yang lebih besar berbanding rakan gabungannya di parlimen.
Justeru penganalisis politik percaya PN sedang menghadapi pergolakan dalaman memandangkan gabungan itu kini dipimpin oleh presiden Bersatu.
Ketua Pemuda Bersatu yang baru dipilih, Hilman Idham, sebelum ini berkata hanya Muhyiddin yang layak memimpin gabungan itu.
Sebelum ini, pelbagai media melaporkan bahawa beberapa pemimpin PN, termasuk Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin dan Presiden Gerakan Dominic Lau, saling berbalas kenyataan mengenai isu poster boy gabungan itu pada PRU16.
Sementara itu, Muhyiddin juga berkata tiada keperluan untuk mewujudkan draf kedua memorandum persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan untuk ahli parlimen pembangkang.
Dia berkata PN akan terus menolak draf tersebut walaupun draf kedua diwujudkan, dengan menggambarkan draf pertama sebagai "tidak boleh diterima."
Muhyiddin turut menggesa kerajaan mempercepatkan kelulusan peruntukan untuk ahli parlimen pembangkang jika mereka benar-benar ikhlas.
Pada 15 Sept lalu, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata PN sebulat suara menolak draf MoU tersebut atas empat sebab, termasuk dakwaan bahawa ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan beberapa syarat yang dikhuatiri menjejaskan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.
Sehari selepas itu, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof mendedahkan dua draf MoU sebagai respons kepada pembangkang, yang menurutnya lebih gemar membuat kenyataan melalui media, untuk membuktikan ketelusan kerajaan Madani.