malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Jangan kita jadi bagai ular, belit-membelit
ADS

AGM BERSATU | Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menggesa sebarang pergeseran dalaman perlu ditamatkan, dengan berakhirnya pemilihan parti itu bulan ini.

Menyampaikan ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Bersatu di Shah Alam, Selangor hari ini, Muhyiddin berikrar untuk terus memimpin parti menuju PRU16 sehingga “berjaya bertapak semula di Putrajaya”.

“Oleh itu, jangan kita diadu-domba, jangan kita dilaga-laga. Jangan ada yang kerjanya cucuk sana, cucuk sini. Kononnya ada kem itu dan kem ini…yang akan melemahkan dan memecahkan kita.

“Ini semua karut. Saya tidak akan izinkan karut-marut ini dalam parti kita,” katanya.

Menggunakan perumpamaan, Muhyiddin berpesan: “Jangan kita jadi bagai akar pilin memilin,

Bagai batang himpit-menghimpit,

Bagai dahan timpa-menimpa,

Bagai harimau kerkah-mengerkah,

Bagai ular belit-membelit.”

Menegaskan keperluan untuk semua pemimpin untuk bersatu-padu, Muhyiddin berkata “kepercayaan, saling menghormati dan memahami secara mendalam adalah langkah ke depan”.

"Kita disatukan oleh ikatan tekad yang tidak boleh diputuskan untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat yang mengatasi segalanya.

“Kita akan meraih kuasa dan membentuk kerajaan dengan cara bekerjasama," tegasnya.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini minggu lalu, Muhyiddin membangkitkan kejayaannya menyusun “pasukan kompromi” dalam pemilihan bagi mengelakkan perpecahan dalam Bersatu.

Antaranya “aturan” termasuk tiada pertandingan untuk dua jawatan tertinggi serta pelantikan untuk pemimpin yang setuju untuk tidak menjadi calon, menurutnya.

Antaranya bekas ketua Srikandi Rina Harun yang dilantik sebagai bendahari, selepas memberi laluan kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin untuk mengetuai sayap wanita tersebut.




Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen