malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bekas CEO SMM dakwa pengganti salah guna kuasa, ditaja naik jet peribadi
ADS

Bekas CEO Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) Jontih Enggihon (gambar utama, kiri) membuat laporan polis terhadap penggantinya, Natasha Sim atas dakwaan salah guna kuasa, rasuah dan konflik kepentingan.

Menurut laporan itu, Jontih mendakwa Sim pada Ogos lalu menaiki jet peribadi yang disediakan sebuah syarikat terkemuka dari Indonesia dan tidak memaklumkannya kepada pengurusan mahupun lembaga pengarah SMM.

Perjalanan itu, yang dianggarkan menelan belanja RM400,000, didakwa melibatkan Sim, suaminya, usahawan balak Elbert Lim serta dua anak Lim.

Laporan itu juga mendakwa Lim dan syarikat Indonesia terbabit sedang memohon lesen cari gali daripada SMM.

“Perjalanan ke Indonesia ini dirahsiakan Sim untuk tujuan peribadi dan wujudnya unsur kesalahan konflik kepentingan dan integriti serta bercanggah dengan tatakelola sebuah syarikat milik penuh kerajaan Sabah,” menurut Jontih.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Sim menafikan semua dakwaan Jontih dan menyifatkannya sebagai fitnah untuk mencemarkan reputasinya.

“Saya secara tegas dan tanpa syarat menafikan semua tuduhan salah laku terhadap saya. Ini adalah tuduhan yang tidak berasas dan berniat jahat yang nampaknya merupakan usaha untuk menjejaskan karakter dan reputasi saya.

“Saya mengalu-alukan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada sebarang siasatan berkaitan perkara ini,” katanya.

‘Tiada kelayakan’

Pada 18 November lalu, Sim memaklumkan SMM akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Jontih kerana didakwa bertindak melampaui kuasanya untuk menguntungkan “entiti yang berisiko ada konflik kepentingan”.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, SMM mendakwa siasatan dalaman mendapati ada pelanggaran tanggungjawab fidusiari, kegiatan penipuan, salah nyata (misrepresentation) atau penipuan terhadap lembaga pengarah SMM, serta salah laku oleh Jontih.

Syarikat itu juga berkata peguam pihaknya juga meneroka tindakan sivil ke atas Jontih bagi mendapat ganti rugi untuk kerugian kewangan dan kerosakan imej yang dialami syarikat.

Namun, syarikat itu tidak memberikan butiran lanjut mengenai tindakan yang didakwa dilakukan oleh Jontih.

Dalam laporan polis yang dibuat Jontih, dia mempersoalkan kelayakan Sim untuk menjadi CEO, dan berkata dia kekurangan pengalaman dalam sektor mineral, geologi dan perlombongan.

Sim dilantik oleh Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, yang menurut laporan itu wajar disiasat atas kemungkinan salah guna kuasa.

Terdahulu, Jontih mengundang perhatian selepas sejumlah laporan Malaysiakini memetiknya yang mendakwa Hajiji menyalahgunakan kuasanya,

Dalam rakaman video pada 1 Oktober, Jontih mendakwa Hajiji selaku pengerusi SMM telah campur tangan dalam proses pemilihan lesen cari gali dan menjaga kepentingan seorang kontraktor.

Ia merupakan salah satu daripada sejumlah video yang didedahkan pemberi maklumat yang mengaitkan sejumlah Adun Sabah dengan skandal rasuah.

Hajiji menafikan ada kaitan dalam skandal itu dan menyifatkannya sebagai usaha untuk menjejaskan pentadbirannya.

Jontih pula menafikan dia berpakat dengan pemberi maklumat tersebut dan mendakwa ada bukti bagi menyokong dakwaan salah guna kuasa Hajiji.

Selain itu, Sim dan seorang lagi pegawai syarikat itu didakwa mengelirukan lembaga pengarah ketika mesyuarat pada 14 Mei 2024.

Malaysiakini juga telah menghubungi pegawai tersebut untuk mendapatkan komen mengenai dakwaan terhadapnya.

‘Memalsukan minit mesyuarat’

Sementara itu, Jontih mendakwa mempunyai rakaman audio yang membuktikan berlakunya pemalsuan minit mesyuarat, yang didakwa melanggar arahan lembaga dan secara palsu mengaitkan dirinya.

“Ini adalah kesalahan di bawah Seksyen 420 dan 469 Kanun Keseksaan. Laporan yang dibuat Sim di balai polis dan SPRM adalah tidak benar dan berniat jahat.

“Laporan tersebut adalah untuk memfitnah dan menjatuhkan kredibiliti saya serta memutarbelitkan fakta.

“Saya telah dianiaya dan difitnah oleh Sim dan seorang lagi pegawai SSM. Saya memohon polis membuat siasatan terhadap Sim dan pegawai itu dan membawa mereka ke muka pengadilan,” katanya.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Kasim Muda mengesahkan menerima laporan Jontih.

“Ya, diterima. Siasatan sedang dijalankan,” katanya kepada Malaysiakini.

Namun, Kasim enggan mendedahkan butiran siasatan dan berkata Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun akan membuat kenyataan berkenaan perkara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen