malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
KDN: Bukan notis merah Interpol, cuma surat dari polis Dhaka
ADS

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan pihaknya tidak menerima sebarang notis merah polis antarabangsa (Interpol) terhadap pengasas Bestinet Sdn Bhd, Aminul Islam Abdul Norndan dan sekutunya Ruhul Amin.

Sebaliknya, kementerian itu hanya menerima surat daripada balai polis Phaltan, Dhaka di Bangladesh meminta pihak polis Malaysia untuk menahan Aminul dan Ruhul atas dakwaan pengubahan wang haram, pemerasan dan pemerdagangan pekerja asing.

"Kami sahkan polis Malaysia tidak terima red notice (notis merah Interpol) untuk menahan Aminul dan Ruhul. Cuma surat untuk menahan mereka.

"Surat itu dihantar sekali sahaja. Kami tidak terima apa-apa permintaan selepas itu," kata jurucakap KDN kepada Malaysiakini.

Jurucakap itu berkata demikian ketika diminta mengulas kekeliruan dalam laporan Jawatankuasa Kira- Kira Wang Negara (PAC).

Semasa sesi PAC berhubung kontrak Bestinet sebagai pengendali Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), Ketua Setiausaha KDN Awang Alik Jeman berkata kerajaan telah dimaklumkan mengenai notis merah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Bangladesh, yang meminta Malaysia menangkap dan mengekstradisi Aminul dan sekutunya Ruhul Amin.

"Setahu saya, ini adalah kali pertama kami menyedarinya," kata Awang Alik, menjawab soalan ahli PAC dan Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Zin.

Laporan itu sekaligus dilihat sebagai bercanggah dengan kenyataan menteri KDN Saifuddin Nasution Ismail yang berkata pihaknya tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada Dhaka untuk mengekstradasi Aminul ke Bangladesh.

Namun, jurucakap KDN berkata tidak timbul sebarang percanggahan.

"Sebenarnya, dalam sesi PAC, apabila ahli PAC berkata 'red notice' dia merujuk kepada surat dari polis Dhaka.

"Jadi, tak ada kekeliruan atau percanggahan," katanya.

Pada 10 Nov lalu Malaysiakini melaporkan polis Bangladesh meminta pihak berkuasa negara ini menahan Aminul Islam dan Ruhul Amin, untuk dihantar pulang ke negara itu.

Alasan Dhaka ialah, kedua-dua mereka didakwa terlibat pengubahan wang haram, pemerasan dan pemerdagangan pekerja asing.

Bagaimanapun, Aminul Islam dan Bestinet menafikan dakwaan tersebut.

Aminul Islam merupakan pengasas dan pengerusi Bestinet, sistem yang digunakan Putrajaya untuk memproses kemasukan ratusan ribu pekerja asing ke negara ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen