malaysiakini logo
story-image
ADS

PARLIMEN l Perdana Menteri Anwar Ibrahim yakin  kerajaan Madani pimpinannya yang masih baru mampu melakukan lebih baik dalam melaksanakan reformasi dari semasa ke semasa.

Presiden PKR itu mengulas penarafan buruk yang diberikan oleh gabungan reformasi pilihan raya, Bersih dalam penilaiannya baru-baru ini, dengan mendakwa Putrajaya gagal memenuhi banyak agenda pembaharuan.

“Tentang (penarafan) Bersih, tak apalah beri (kita gred) D, bukan F.

“(Kalau) UPSR D, (nanti) SPM esok naik A lah.

Insya-Allah, (kerajaan Madani masih) baru sangat,” katanya sinis sewaktu sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

UPSR merujuk kepada sistem peperiksaan untuk sekolah rendah awam di Malaysia, yang telah dihentikan sementara SPM atau Sijil Pelajaran Malaysia, lazimnya diduduki oleh pelajar sekolah menengah pada akhir pengajian Tingkatan 5.

Dua hari lalu, Bersih semasa melancarkan "kad laporan pertengahan penggal" memberikan pentadbiran Anwar gred D yang prestasi buruknya dikaitkan dengan kegagalan melaksanakan reformasi institusi dengan ketara.

Pengerusi Bersih, Faisal Aziz berkata penilaian mereka berhubung dua tahun pertama kerajaan mendapati terdapat jurang yang ketara antara janji reformasi dan pelaksanaan sebenar.

Penilaian itu, yang menggabungkan dua bahagian - menunaikan komitmen manifesto dan perbandingan dengan pentadbiran terdahulu - kembali dengan kerajaan Madani mencatatkan jumlah 45.8 peratus, katanya.

Bersih juga membandingkan kemajuan reformasi yang dibuat oleh Anwar dan empat pendahulunya dalam tempoh dua tahun pertama mereka memegang jawatan.

Kumpulan reformasi pilihan raya itu turut meletakkan Anwar di belakang pendahulunya Ismail Sabri Yaakob dan Dr Mahathir Mohamad dalam menunaikan janji reformasi mereka.

Antara lain, menurut Bersih, dana pembangunan kawasan yang diberikan semasa pentadbiran Ismail Sabri kepada ahli parlimen pembangkang ketika itu sebagai sebab perdana menteri kesembilan adalah lebih baik daripada Anwar.

Untuk rekod, kerajaan hari ini menerima kritikan hebat kerana didakwa tidak menyalurkan dana kepada ahli parlimen pembangkang.

Mengulas perkara itu, Anwar mendakwa Bersih telah terlepas pandang bahawa ketika itu, dirinya sebagai ketua pembangkang yang berunding dengan pentadbiran Ismail Sabri sehingga mereka mencapai persetujuan untuk memeterai MoU.

Sedangkan, tambahnya, parti pembangkang hari ini enggan berunding dengan Putrajaya.

“Pandangan kita kepada TPM 2 (Fadillah Yusof) jelas, harus berunding.

“Tapi nampak pembangkang (enggan). Keengganan berunding tu menyebabkan hal ini tertangguh.

“Kalau Pendang umpamanya setuju jadi salah seorang perunding, boleh berunding segera, kalau boleh setuju kita boleh terima,” kata Anwar semasa menjawab soalan tambahan dari Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai isu penyaluran peruntukan.

Awang Hashim (PN-Pendang)

Terdahulu, Fadillah yang juga merupakan Ketua Whip Kerajaan memaklumkan hanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) yang memberi maklum balas terhadap memorandum persefahaman (MoU) penyaluran peruntukan.

Dia berkata, pembangkang sudah membuat ketetapan menolak MoU tersebut namun dirinya bersedia untuk melakukan rundingan secara terus dengan mana-mana ahli Parlimen pembangkang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen