malaysiakini logo
story-image
ADS

PARLIMEN | Pembangkang hari ini merakam kekesalan berhubung kenyataan Ahli parlimen Bagan Lim Guan Eng yang mempersoalkan kehadiran delegasi kerajaan Afghanistan yang dipimpin Taliban.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kenyataan Guan Eng itu seolah-olah memberi imej buruk kepada negara.

"Kami menyokong dan menyeru menteri pendidikan Malaysia untuk memberikan kepakaran dan ilmu demi membangunkan Afghanistan, sebagaimana Malaysia berikan bantuan sama kepada negara-negara yang baru mencapai kemerdekaan bagi berkongsi kepakaran yang kita ada.

"Kita juga sambut baik langkah menteri pendidikan yang menjalinkan kerjasama dengan Afghanistan dalam bidang pendidikan, yang kami fikir Malaysia sebuah negara yang telah ke depan dalam pendidikan.

"Ahli parlimen Bagan tak perlu letak imej yang negatif ke atas Malaysia di mata dunia," katanya dalam sidang media di parlimen, hari ini.

Lim Guan Eng

Semalam, Lim meminta Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menjelaskan alasan kementerian itu menjadi tuan rumah kepada delegasi kerajaan Afghanistan itu.

Lim berkata dia membangkitkan isu itu bukan sahaja sebagai wakil rakyat, tetapi juga sebagai seorang yang memandang serius hak asasi manusia, khususnya pendidikan wanita.

“Mengapa Kementerian Pendidikan membenarkan lawatan sedemikian daripada sebuah negara yang tak ada hubungan diplomatik dengan Malaysia dan pada masa yang sama lebih penting lagi, ialah sebuah negara yang menyekat golongan wanita daripada belajar di sekolah menengah dan universiti?" katanya pada sidang media di parlimen.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim yang juga ahli parlimen Kubang Kerian mencadangkan Malaysia mengadakan hubungan secara tak rasmi ataupun de facto dengan negara yang belum diiktiraf.

"Duta Afghanistan telah wujud di Malaysia yang dilantik secara sah oleh kerajaan Afghanistan. Walaupun, Malaysia belum ada duta di Kabul, namun mereka ada perhubungan dengan Malaysia.

"Sebagai sebuah negara umat Islam sepatutnya, kita membantu rakan-rakan kita yang mencapai kemerdekaan.

"Kami menggesa kerajaan Malaysia memperkukuhkan hubungan dengan kerajaan Afghanistan yang telah dipilih secara rasmi oleh rakyat negara itu," katanya.

Fadhlina Sidek

Katanya, kerajaan baru di Afghanistan telah mengadakan hubungan dengan banyak negara.

Justeru, katanya, Malaysia juga perlu menilai untuk meningkatkan hubungan diplomatik dengan Afghanistan.

Sabtu lalu (16 Nov), Fadhlina mengesahkan lawatan delegasi itu berlangsung awal bulan ini dan dia berkongsi pandangan tentang hal ehwal pendidikan.

Menurut Radio Televisyen Afghanistan, rombongan itu diketuai oleh ketua pengarah Kementerian Pendidikan Shahabuddin Saqib.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen