Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi berkata kerajaan PN sebelum ini merupakan sebuah kerajaan gagal dan langsung tidak layak mendapat markah jika suara rakyat diambil kira.
Dia berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim yang mengatakan kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim berisiko mendapat gred lebih rendah daripada D seperti yang diberikan oleh NGO pemantau pilihan raya, Bersih.
"Menurut Shahidan kerajaan berisiko dapat gred lebih rendah jika suara rakyat diambil kira. Kalau guna suara rakyat PN tidak dapat gred langsung. Mereka kalah teruk di Nenggiri dan Mahkota.
"Kerajaan PN adalah kerajaan gagal sebab itu boleh memerintah 17 bulan sahaja. Total F," katanya pada hantaran di Facebook.
Bersih baru-baru ini memberikan "gred D" kepada Kerajaan Madani dalam penilaian selama dua tahun pentadbirannya.
Prestasi buruk itu didakwa berpunca daripada kegagalan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim melaksanakan janji reformasi.
Kumpulan reformasi pilihan raya itu juga meletakkan Anwar di belakang pendahulunya Ismail Sabri Yaakob dan Dr Mahathir Mohamad dalam menunaikan janji reformasi.
Shahidan turut mendakwa kerajaan Anwar hari ini berdepan masalah di peringkat domestik dan antarabangsa.
“Sehingga orang yang dulu beri pengiktirafan tinggi pada kerajaan sekarang - Bersih, mereka menyokong kerajaan tetapi hari ini hampir kami semua (pembangkang) terpitam kerana Bersih telah beri markah D pada kerajaan.
“D ni apa makna? Siapa dapat markah D dia boleh terus bernafas tetapi dalam keadaan yang cedera. Kecederaan ini perlu dibuat pembaharuan serta-merta,” kata Shahidan pada sidang media bersama ahli parlimen pembangkang lain.
Dalam pada itu Puad berkata penilaian Bersih tidak boleh diterima pakai kerana ia merupakan NGO partisan, manakala Shahidan pula adalah ahli politik PN.
"Sekarang ini musim bagi gred. Tetapi semua itu hanya gred politik. Bersih adalah NGO partisan dan bersikap selektif. Shahidan pula orang PN,” katanya.