malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Usah ragui KPM terima kunjungan delegasi Afghanistan - Abim
Diterbitkan:  Nov 20, 2024 11:05 PM
Dikemaskini: 3:13 PM
ADS

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyifatkan kunjungan rasmi delegasi kerajaan Afghanistan ke Kementerian Pendidikan menandakan sistem pendidikan Malaysia diiktiraf sebagai model yang boleh dicontohi negara lain.

Presidennya Ahmad Fahmi Mohd Samsudin mengulas kenyataan Pengerusi DAP Lim Guan Eng yang mempersoalkan mengapa Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menerima kunjungan Taliban.

“Kesediaan dunia Islam khususnya seperti Afghanistan memberi perhatian dalam aspek pendidikan perlu diberi perhatian, apatah lagi bila ia menjadikan Malaysia sebagai model rujukan dalam pelbagai aspek termasuk kokurikulum, pendidikan rendah dan menengah dan aspek pelatihan keguruan. 

“Justeru Abim berpandangan negara mempunyai peluang besar untuk memainkan peranan strategik sebagai negara Islam progresif yang menegakkan prinsip keadilan, kebebasan, dan hak pendidikan untuk semua,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Lim mempersoalkan Kementerian Pendidikan kerana menerima kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan.

Lim berkata, Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan Taliban dan Taliban - selaku pemerintah negara itu - melaksanakan dasar menyekat wanita untuk belajar di peringkat menengah dan universiti.

Lim juga bertanya jika Fadhlina membangkitkan isu sekatan pendidikan ke atas rakyat wanita Afghanistan ketika kunjungan itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi berkata keterbukaan untuk menerima kunjungan itu membuktikan kesediaan Malaysia untuk memperjuangkan pendidikan untuk semua, termasuk wanita.

“Usaha seperti ini tidak seharusnya diragui kerana ia mendukung nilai sejagat yang disepakati iaitu pemberdayaan wanita menerusi pendidikan.

“Peluang ini juga perlu dimanfaatkan untuk menunjukkan kekuatan budaya hidup dalam rukun damai yang diamalkan di negara ini,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen