malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Duda bakal disebat di depan masjid dek khalwat kali ketiga
Diterbitkan:  Nov 20, 2024 4:43 PM
Dikemaskini: 9:51 AM
ADS

Seorang lelaki berstatus duda muncul sebagai pesalah pertama akan dihukum sebatan dengan disaksikan orang ramai di sebuah masjid di Terengganu.

Kesalahan yang dilakukan duda terbabit - melakukan kesalahan khalwat berulang sehingga tiga kali.

Hari ini hakim kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail, menetapkan hukuman tersebut terhadap Mohd Affendi Awang, 42, yang mengaku salah atas dakwaan melakukan khalwat kali ketiga.

Mahkamah memerintahkan hukuman enam sebatan dilaksanakan selepas solat Jumaat pada 6 Dis ini di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.

Tertuduh turut dikenakan denda RM4,000, dan enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Mohd Affendi didakwa melakukan khalwat bersama seorang wanita yang berusia 52 tahun di sebuah rumah di Kemaman pada jam 1.40 pagi, 16 Jun lalu.

Hukuman sebat di khalayak ramai itu dikenakan kerana ia merupakan kesalahan ketiga Mohd Affendi.

Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) ( Terengganu) Pindaan 2022, bagi kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara yang berkuat kuasa 1 Jan lalu.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kamalruazmi berkata, dalam menjatuhkan apa-apa hukuman, matlamat utama dalam syariat dan dari segi agama adalah memberi pengajaran, pendidikan dan pencegahan supaya perkara yang sama tidak berulang, khususnya ke atas tertuduh dan juga sebagai pencegahan ke atas orang awam.

"Seorang Mukmin itu tidak jatuh dalam 'lubang' yang sama sebanyak dua kali. Kamu (tertuduh) pernah disebat dan dipenjara tetapi buat lagi (berkhalwat).

"Hukuman kali pertama (sebatan kerana khalwat) sepatutnya sudah memberi keinsafan," katanya seperti dipetik Sinar Online.

Tertuduh yang juga seorang tukang rumah pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat pada 11 Julai 2023 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman.

Bapa kepada lima anak itu sekali lagi didakwa melakukan kesalahan sama pada 25 Jan lalu dan tidak sampai sebulan kemudian, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman empat sebatan dan denda RM3,000.

Penghakiman tersebut dibuat pada 19 Feb. Tertuduh juga berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Menurut laporan itu, dia juga merupakan pesalah khalwat pertama di Terengganu dikenakan empat sebatan di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu kerana melakukan kesalahan khalwat berulang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen