malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tumbuk warga asing di KLIA: Kakitangan AeroDarat digantung tugas
ADS

PARLIMEN | Kerajaan sudah mengenal pasti individu yang terlibat dalam insiden kekasaran di kawasan ruang rehat NTL (not to land) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor baru-baru ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata individu itu merupakan kakitangan syarikat pengendali kawasan berkenaan, AeroDarat Services Sdn Bhd (AeroDarat).

Tindakan yang diambil, kata Loke, ialah menggantung tugas kakitangan terbabit serta-merta, dan diberikan surat tunjuk sebab.

"Saya diberikan laporan bahawa kakitangan yang terlibat dalam insiden itu ialah kakitangan AeroDarat.

"Dia menyatakan bahawa ada provokasi daripada penumpang NTL menyebabkan dia pun ada sentuhan fizikal (tumbuk) dan menggunakan kata-kata kesat," katanya dalam sidang media di parlimen hari ini.

Loke juga menegaskan, dalam apa keadaan sekali pun, tindakan kakitangan AeroDarat itu memang tidak dapat dipertahankan kerana dia sepatutnya kekal profesional walaupun memang ada sesetengah warga asing yang tidak sopan.

"Kakitangan itu telah digantung tugas dan diberikan surat tunjuk sebab sementara menunggu siasatan menyeluruh dibuat oleh pihak pengurusan," katanya.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan insiden seorang pegawai menumbuk muka dan menggunakan kata-kata ke atas warga asing yang tidak dibenarkan memasuki negara oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Insiden itu dilaporkan berlaku di sebuah ruang rehat khas untuk warga asing yang diberi status NTL.

Malasiakini juga menerima beberapa klip video daripada seorang pelancong berstatus NTL yang mengadu mengenai layanan terhadap warga asing yang tidak dibenarkan memasuki Malaysia.

Dalam klip video tiga saat yang dipercayai diambil pada 11 Nov lalu, seorang pegawai dilihat menumbuk muka seseorang atas sebab yang tidak pasti sebelum mangsa diminta pergi ke suatu tempat seperti bilik.

Dalam satu lagi video - juga tiga saat - pegawai sama menjerit "Ingat aku kuli, sial!" kepada warga asing yang berada di situ.

Sementara video ketiga sepanjang 22 saat menunjukkan keadaan di NTL yang sesak dan terdapat pelancong asing duduk serta berbaring di lantai.

AeroDarat sebelum ini dikenali sebagai MAB Ground Handling Services Sdn Bhd dan merupakan adalah anak Malaysia Aviation Group (MAG).

Menurut Loke, ruang rehat NTL tidak diuruskan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mahu pun Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB),

"Seseorang warga asing yang ditolak oleh JIM (diberikan status NTL) atas sebarang sebab, mereka perlu dihantar balik.

"Tanggungjawab menguruskan penghantaran NTL itu diletak di bawah syarikat penerbangan. Ini memang satu piawaian antarabangsa. Semua lapangan terbang antarabangsa pun sama.

"Syarikat pengendali penerbangan perlu bertanggungjawab," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen