malaysiakini logo
story-image
ADS

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan Allahyarham Daim Zainuddin daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan aset.

Ia susulan permohonan oleh timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin bahawa pihak pendakwaan tidak lagi ingin meneruskan prosiding kerana tertuduh telah meninggal dunia minggu lepas.

"Kami dengan ini tidak berniat meneruskan prosiding terhadap Allahyarham Tun Daim kerana tertuduh telah meninggal dunia dan kami serahkan kepada budi bicara mahkamah.

“Namun kami ada menerima surat daripada (firma peguam Daim) Tetuan Raj & Sach, iaitu mereka membantah untuk memberhentikan prosiding ini," katanya.

Wan Shaharuddin berkata kuasa untuk meneruskan kes terletak pada pihak pendakwaan mengikut Seksyen 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

"Apabila ada pertuduhan, maka perlu ada pihak yang dituduh," katanya.

Hakim Azura Alwi kemudian membuat perintah mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.

"Mahkamah dengan ini memerintahkan Allahyarham Tun Daim dilepaskan dan dibebaskan. Jaminan dibatalkan dan dikembalikan.

“Mahkamah juga mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, semoga arwah ditempatkan bersama para solihin,” kata Azura.

Semalam, Na'imah Abdul Khalid, 66, menggesa pendakwaan supaya meneruskan kes itu, supaya peguam  pembelaan dapat membantu membersihkan nama arwah suaminya di mahkamah.

Rabu minggu lalu, hartawan berusia 86 tahun itu meninggal dunia di Hospital Assunta selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi kerana angin ahmar.

Pertuduhan jenayah ke atas Daim adalah atas dakwaan gagal mematuhi notis SPRM untuk mendedahkan asetnya.

Pada 29 Januari lalu, Daim mengaku tidak bersalah di mahkamah atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan 71 asetnya se­perti yang dikehendaki oleh Akta SPRM.

Antara, aset-aset itu merangkumi satu bank akaun, tujuh kenderaan, 38 syarikat dan 25 hartanah atau tanah di bawah syarikat.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya pada 13 Di­sem­ber 2023 di Ibu Pejabat SPRM di Presint 7, Putrajaya.

Bekas menteri itu dituduh mengikut Seksyen 36(1)(a) ASPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen