malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘KM tahu bahagian masing-masing’ – video baru libatkan TKM
ADS

Seorang ahli perniagaan, yang mengaitkan pentadbiran Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dengan videonya mengenai dakwaan rasuah, kini mendedahkan rakaman keempat.

Rakaman itu mencadangkan bahawa pemimpin kanan negeri tahu berkaitan dakwaan imbuhan terhadap wakil-wakil rakyat.

Rakaman itu memaparkan Timbalan Ketua Menteri Shahelmey Yahya, yang juga menteri kerja raya Sabah.

Ahli perniagaan itu, yang mengaku menawarkan rasuah kepada ahli politik sebagai balasan kepada sokongan mendapatkan lesen pelombongan, memberitahu Malaysiakini bahawa video itu adalah versi suntingan.

Dia sekali lagi menegaskan sedia menyerahkan rakaman penuh lapan video kepada pihak berkuasa jika permohonannya mendapatkan pelindungan dan kekebalan diberikan.

Dalam rakaman yang bermula dengan “Bahagian 3”, pemberi maklumat memberitahu Adun Tanjung Keramat bahawa dia adalah orang pertama yang menyokong Hajiji semasa krisis politik Sabah, Januari tahun lalu.

“Jadi dia bagi kamu hadiahlah, anggap hadiah untuk kamu.

“Takkan dia tak tahu ini ‘barang’ mesti untuk dapat dana untuk bantu kawasan ke untuk apa. Dia mesti tahu ini permainan.

“Jadi bila dia sudah solid, sudah kukuh,  dia pakai macam-macam alasan untuk batalkan,” tambahnya.

‘Hajiji kecewa YB tak maklum bahagian masing-masing?’

Pemberi maklumat itu kemudian menyarankan kepada Shahelmey bahawa ketua menteri kecewa kerana YB atau Adun tidak memaklumkan “bahagian” masing-masing.

“Saya dengar begitulah, termasuk orang-orang dia. Mereka cakap ini YB berapa dia ambil dia tak bagi tahu sama CM (ketua menteri),” katanya.

Ditanya sama ada timbalan ketua menteri itu telah memberitahu ketua menteri mengenai bahagiannya, dia menjawab tidak dan terus menjelaskan proses yang dikatakan terlibat.

“Orang lain semua sudah minta, saya belum ada. Oh, itulah dia sign. Ingat, kamu periksalah, dia bilang, kalau masih ada ini.

“Bermaksud dia tahulah ini kamu punya bahagian, ini kamu punya bahagian,” tambahnya.

Shahelmey kemudian mendedahkan bahawa amalan ini sama seperti dahulu ketika ia melibatkan konsesi pembalakan dan ladang kelapa sawit.

“Macam dulu-dulu, tiap YB minta lot balak, bagi balak. Lepas itu tukar pula zaman minta sawit. Begitu,” jelasnya.

Sementara itu Shahelmey dilaporkan berkata, dia akan memberi kenyataan media pada waktu lain.

"Tiada komen. Saya baru sahaja keluar dari dewan undangan negeri.

“Saya akan keluarkan kenyataan media nanti," katanya yang dipetik BH Online di Kota Kinabalu petang ini.

Selepas krisis politik tahun lalu yang dikenali sebagai “Langkah Kinabalu”, Shahelmey digantung selama enam tahun daripada Umno kerana menyokong Hajiji yang mengetuai Gagasan Rakyat Sabah (GRS), yang memihak kepada kerajaan gabungan pimpinan Anwar Ibrahim.

Dengan kemunculan rakaman video menjelang pilihan raya negeri akan datang, terdapat dakwaan ia mungkin berkaitan dengan langkah politik tertentu.

Umno Sabah menafikan sebarang penglibatan.

Ini adalah video keempat yang bocor sejak Malaysiakini melaporkan pada 9 Okt melihat lapan video Adun berbincang mengenai pembayaran wang, yang didakwa pemberi maklumat sebagai rasuah berkaitan projek penerokaan.

Hajiji Noor

Terdapat juga video lain - yang bukan sebahagian daripada lapan itu - yang memaparkan bekas ketua pegawai eksekutif Sabah Mineral Management (SMM), Jontih Enggihon menuduh ketua menteri menyalahgunakan kuasa dan memberi keutamaan kepada individu tertentu.

Semalam, Malaysiakini menyiarkan video Adun Tempasuk, Mohd Arsad Bistari, mendedahkan bagaimana projek RM70 juta telah disekat, selain menyalahkan “pasukan lama” yang terdiri daripada menteri kewangan negeri, Masidi Manjun.

Video ini juga telah disunting untuk mengeluarkan bahagian perbincangan mengenai pertukaran wang.

Rabu lalu, video melibatkan Adun Kemabong Rubin Balang didedahkan, mengandungi rundingan perniagaan dengan pemberi maklumat mengenai penggunaan syarikat milik anak-anaknya untuk kuota penerokaan perlombongan.

Hajiji menafikan sebarang salah laku dan berjanji pentadbirannya akan bekerjasama dengan SPRM sekiranya siasatan dijalankan.

Bagaimanapun, dia meminta agar pemberi maklumat ditangkap dan disiasat terlebih dahulu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen