malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS: Jelaskan rasional jual tanah RM73.4 juta kepada syarikat China
ADS

PAS mahu kerajaan negeri Pahang dan Pasdec Holdings Bhd (Pasdec) menjelaskan kepada rakyat berhubung jualan tanah di Harbour Park, dekat Gebeng, kelmarin kepada sebuah syarikat dari China.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu berkata, ini kerana butiran lengkap berkaitan transaksi berkenaan tidak didedahkan untuk diteliti dan rasional di sebalik keputusan menjual tanah seluas 23.96 hektar itu. 

"Saya minta kepada kerajaan negeri atau pihak Pasdec Holdings membuat pencerahan sedikit butiran transaksi itu, terutama sekali dari sudut pemilikan. 

"Adakah penjualan itu memberikan hak milik kekal kepada syarikat dari China atau hak milik sementara... sekiranya sementara, kena beritahu kepada rakyat sebab rakyat tertanya-tanya kerana penjualan tanah ini isu sensitif (tambahan) kepada syarikat luar. 

"Kalau hak milik sementara, berapa lama jangka waktu hak milik sementara itu," katanya dalam satu kenyataan kepada media di Kuantan, hari ini. 

Andansura yang juga Adun Beserah turut meminta penjelasan mengenai pelaburan yang akan dibuat oleh syarikat dari China yang membeli tanah berkenaan. 

Katanya, syarikat terbabit dikatakan akan melabur kira-kira RM3 bilion bagi membina kompleks bersepadu loji penapisan minyak dan petrokimia.

"Sekiranya syarikat itu tidak jadi membina kilang atau tidak jadi membangunkan tanah tersebut dalam tempoh beberapa tahun, adakah tanah itu masih lagi menjadi hak milik syarikat terbabit? 

"Adakah sekatan (dikenakan) untuk menghalang mereka daripada menjual tanah itu kerana kita bimbang sekiranya pelaburan dijanjikan tidak berlaku, tanah kita telah terjual dan akhirnya syarikat itu dapat untung apabila mungkin menjual pula tanah tersebut kepada pihak ketiga dan sebagainya," jelasnya. 

Pasdec ketika majlis perjanjian jual beli tanah industri itu pada Selasa lalu, menyasarkan memperoleh pendapatan sebanyak RM73.4 juta menerusi perjanjian itu. 

Tanah industri berkenaan dijual kepada syarikat dari China - Petroluxe Refinery (M) Sdn Bhd (Petroluxe) - yang merancang mendirikan sebuah kompleks bersepadu loji penapisan minyak dan petrokimia.

Majlis itu dihadiri Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail. 

Dalam perkembangan lain, Andansura turut menyuarakan kerisauan terhadap nasib tanah yang masih dimiliki Pasdec susulan penjualan tanah di Gebeng itu. 

Katanya, sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri Pahang, Pasdec perlu memainkan peranan dalam menjaga tanah diberikan kepada mereka. 

"Saya pernah bangkitkan isu berkaitan Pasdec di DUN Pahang antara tahun 2017 atau 2018 selepas pegangan saham dalam Pasdec yang sebelum ini dimiliki  Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dijual kepada syarikat swasta. 

"Banyak tanah masih dimiliki Pasdec dan saya bimbang jika ada lagi usaha untuk menjual tanah itu kepada orang luar," katanya lagi. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen