malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Gobind tidak perlu berundur sebagai menteri - Loke
Diterbitkan:  Nov 11, 2024 4:37 PM
Dikemaskini: 11:19 AM
ADS

Gobind Singh Deo tidak perlu melepaskan jawatan menteri yang disandangnya susulan kekalahan dalam pemilihan DAP Selangor baru-baru ini, kata setiausaha agung DAP Anthony Loke.

Loke dipetik oleh media sebagai berkata, meskipun keputusan tersebut sesuatu yang mengejutkan namun Gobind menerimanya dengan hati terbuka.

Katanya, keputusan itu sebagai sebahagian daripada proses demokrasi dalam DAP dan Gobind tidak perlu berundur sebagai menteri digital.

“Ini adalah proses demokratik biasa. Malah, dengan kekalahan ini tidak bermakna beliau (Gobind) perlu berundur.

“Gobind masih memainkan peranan penting sebagai Timbalan Pengerusi DAP di peringkat kebangsaan dan saya berterima kasih kepada beliau atas sumbangannya kepada DAP Selangor selama ini,” katanya.

Dalam pemilihan DAP Selangor semalam, Gobind gagal mempertahankan jawatannya sebagai pengerusi DAP Selangor selepas tewas dipilih sebagai seorang daripada 15 ahli jawatankuasa DAP Selangor.

Gobind - pengerusi DAP Selangor penggal sebelum ini - adalah satu-satunya menteri yang tidak dipilih menganggotai jawatankuasa negeri tahun ini.

Jawatan Pengerusi DAP Selangor kini disandang oleh Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri, Ng Sze Han.

Ini di sebalik desakan Loke semalam pada konvensyen DAP Selangor, yang mahukan jawatankuasa negeri itu terdiri daripada "CIMB" - "Cina, India, Melayu dan juga Singh".

Mengulas lanjut Loke mengakui bangga dengan sikap ditunjukkan Gobind kerana menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

"Saya rasa beliau (Gobind) sudah membuat kenyataan semalam bahawa beliau menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka.

"Bagi saya, inilah semangat yang harus dimiliki oleh setiap pemimpin DAP.

“Saya berterima kasih kepada Gobind kerana sumbangan yang diberikan kepada parti khususnya DAP Selangor selama ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen