malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pengurangan hukuman Najib tidak boleh dicabar di mahkamah
ADS

Prerogatif perlembagaan Yang di-Pertuan Agong untuk mengurangkan hukuman bekas perdana menteri Najib Abdul Razak tidak boleh dipersoalkan di mahkamah.

Ini adalah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini untuk menolak permohonan bagi Badan Peguam Malaysia untuk memulakan semakan kehakiman terhadap nasihat Lembaga Pengampunan kepada Agong bagi pengurangan hukuman itu.

Nasihat itu menyebabkan Najib hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dikurangkan kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta, bagi kes RM42 juta SRC International atas salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan kes pengubahan wang haram.

Badan Peguam sedang memohon kebenaran mahkamah untuk meneruskan semakan kehakimannya untuk mencabar nasihat Lembaga Pengampunan bagi pengurangan hukuman Najib pada 29 Jan.

Hakim mahkamah sivil Ahmad Kamal Md Shahid hari ini berkata tindakan undang-undang Badan Peguam adalah tidak wajar kerana prerogatif Agong dan proses nasihat Lembaga Pengampunan adalah hal yang sama.

"Dalam kes ini, saya mendapati bahawa prerogatif belas kasihan menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan adalah pelaksanaan langsung budi bicara YDPA (Agong) dan bukannya Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (FT) atau kuasa yang diwakilkan kepada Lembaga Pengampunan FT.

“Mengambil kira perkara di atas, mahkamah ini berpendapat bahawa hak prerogatif belas kasihan menurut Artikel 42 Perlembagaan Persekutuan tidak terdedah kepada semakan kehakiman.

"Oleh itu, pelepasan untuk mencabar keputusan Lembaga Pengampunan FT adalah mengikut sifat dan perkaranya, tidak wajar untuk semakan kehakiman," kata Ahmad Kamal.

Hakim tidak bersetuju dengan hujah Badan Peguam bahawa ia hanya mencabar nasihat Lembaga Pengampunan dan budi bicara Agong.

"Saya berpendapat bahawa percubaan pemohon untuk membezakan antara mencabar nasihat Lembaga Pengampunan dan keputusan sebenar YDPA adalah cacat," kata Ahmad Kamal.

"Saya berpendapat bahawa keputusan YDPA dan nasihat Lembaga Pengampunan FT adalah sebahagian daripada satu proses yang berakhir dengan pemberian pengampunan oleh YDPA, seterusnya bukan perkara yang sesuai dan wajar untuk disemak di hadapan mahkamah," kata hakim itu lagi.

Hakim tidak membuat sebarang perintah mengenai kos selepas menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman itu.

Ketika ditemui media selepas prosiding, peguam Badan Peguam Zainur Zakaria berkata dia akan menunggu arahan sama ada untuk merayu ke Mahkamah Rayuan.

Melalui permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan pada April, Badan Peguam mahu membatalkan keputusan Lembaga Pengampunan untuk memberi nasihat diraja, atas alasan ia didakwa melanggar hak asasi individu untuk kesaksamaan di hadapan undang-undang.

Badan profesion undang-undang itu mendakwa ini adalah pelanggaran hak perlembagaan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dengan memberi Najib layanan istimewa yang biasanya tidak diberikan kepada 70,000 banduan lain yang disabitkan kesalahan di 30 penjara di Malaysia.

Peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambaly mewakili Lembaga Pengampunan yang merupakan responden pertama.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee bertindak bagi Najib, yang merupakan responden kedua.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen