malaysiakini logo
ADS
story-image
ADS

PARLIMEN | Kerajaan tidak boleh bertindak semberono sama ada untuk melepas atau membebaskan kanak-kanak GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang diselamatkan dalam Op Global baru-baru ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan, berkata kes tersebut melibatkan banyak pihak dan sebarang langkah yang mahu diambil perlu mengikut garis panduan.

“Berdasarkan data dan laporan, sebenarnya semua pihak yang bersama-sama bekerjasama (kes) ini bukan satu pihak saja tapi merangkumi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan ramai lagi pihak lain.

“Sesungguhnya semua agensi ini ada garis panduan dan mengikut lunas undang-undang sedia ada.

“Semuanya tidak boleh dilakukan secara semberono.

ADS

"Maka dengan itu kita memberikan kepercayaan bahawa agensi terbabit melakukan tugas dengan sebaiknya selaras dengan melindungi kebajikan semua yang terlibat,” katanya pada sesi waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Zulkifli menjawab pertanyaan tambahan Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang ingin tahu berapa lama lagi anak-anak terbabit akan ditahan.

Pada 15 Okt lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, memaklumkan seramai 560 kanak-kanak yang diselamatkan telah ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala dua lagi dikembalikan kepada keluarga atau penjaga.

ADS

Pertimbangan pendakwaan syarie

Kata Nancy, JKM mendapat kebenaran mahkamah untuk jagaan sementara selama dua bulan.

Sementara itu menjelaskan isu berkaitan, Zulkifli berkata, sebarang langkah pendakwaan ke atas mana-mana individu terkait dengan GlSBH perlu dibuat mengikut ketetapan hukum dari segi akidah.

Antara aspek yang diambil kira, kata senator terbabit, ialah ketetapan oleh jawatankuasa fatwa negeri serta Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia.

Tidak diabaikan, katanya, ialah kekuatan serta kesahihan sesuatu bukti yang mahu dibawa ke mahkamah.

“Jadi dari aspek ini kita serahkan kepada pihak berkuasa terutamanya pendakwaan syarie untuk meneliti perkara ini dengan lebih baik,” katanya.

Zulkifli berkata demikian sebagai menjawab soalan Tuan Ibrahim yang ingin tahu mengapa pihak yang didakwa di mahkamah baru-baru ini tidak dituduh kerana mengamalkan Aurad Muhammadiah yang sudah diharamkan.

Pada 23 Okt lalu, Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Nasiruddin Mohd Ali, bersama 21 individu lain dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen