Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin memfailkan saman fitnah sebanyak RM10 juta terhadap seorang pengguna Facebook.
Saman itu berhubung empat hantaran Facebook yang dibuat Mohd Nawawi Abdul Razak pada 20 Sept lalu yang mendakwa Mohd Asri mempunyai kaitan dengan syarikat kontroversi, Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).
Saman berkenaan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Okt lalu.
Menurut pernyataan tuntutan, Mohd Asri menafikan dakwaan itu dengan mengatakan dia seorang Muslim yang beriman kepada al-Quran dan tidak pernah mendekati perkara-perkara khurafat atau mengikuti ajaran sesat.
Mohd Asri menegaskan Perlis pada 20 Sept lalu telah mengeluarkan fatwa yang mengisytiharkan GISBH mengandungi unsur sesat, yang antara lain menyamakan kedudukan pemimpin mereka setaraf nabi Muhammad.
"Plaintif selanjutnya menyatakan bahawa plaintif merupakan antara individu pertama menegah dan/atau menentang dan/atau mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan/ siasatan terhadap GISBH secara terang dan tanpa selindung," katanya.
Mohd Asri mendakwa pengguna FB itu terus menyebarkan fitnah walaupun telah dilayangkan surat tuntutan supaya dia berhenti berbuat demikian.
Selain RM10 juta sebagai ganti rugi teruk dan teladan, plaintif juga meminta defendan membuat permohonan maaf untuk disiarkan dalam beberapa akhbar, Facebook dan beberapa platform media sosial lain seperti Twitter dan TikTok.
Mohd Asri juga memohon perintah mahkamah agar Nawawi memadamkan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu daripada internet.
Plaintif diwakili oleh firma guaman Faizal Rahman & Co.