malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Saya pastikan SPRM tak jadi alat dendam ahli politik'
Diterbitkan:  Nov 3, 2024 1:02 PM
Dikemaskini: 6:12 AM
ADS

Bekas ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya membuat perbandingan antara ketika dia mengetuai suruhanjaya antirasuah itu dengan penggantinya, Azam Baki, di tengah peningkatan tumpuan awam terhadap komitmen kerajaan untuk membanteras rasuah.

Dalam temu bual dengan Mingguan Malaysia, aktivis peguam itu berkata dia melaksanakan reformasi selama sembilan bulan memegang jawatan itu di bawah bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Saya memastikan SPRM tidak dipolitikkan, menjadi alat dendam untuk ahli politik atau kerajaan mengambil tindakan. Sebab itu semasa saya berada di dalam SPRM, saya tidak membenarkan sesiapa yang dituduh atau direman dibawa mahkamah memakai baju lokap berwarna oren.

"Saya tidak peduli sama ada individu itu orang kenamaan atau tidak, jangan sehingga tahap memalukan mereka sebelum disiasat, dituduh atau disabit bersalah kerana mereka mempunyai maruah serta ahli keluarga yang mesti dijaga.

"Baju oren hanya boleh dipakai di dalam lokap, tetapi, sekarang, baju ini juga dipakai ketika membawa tahanan ke mahkamah dan dimalukan. Padahal, baru reman dan belum dituduh tetapi gambar wajahnya sudah tersebar di media massa. Bukankah ini tidak adil?" katanya seperti dipetik dalam laporan itu.

Pengasas bersama Lawyers for Liberty itu dinamakan sebagai ketua pesuruhjaya SPRM pada 4 Jun 2019, bagi menggantikan Mohd Shukri Abdull - satu langkah yang menimbulkan kontroversi kerana ia memintas Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Pelantikan Awam.

Pada 6 Mac 2020, bekas ahli PKR itu mengesahkan peletakan jawatannya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM, berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Azam, yang ketika itu berkhidmat sebagai timbalan ketua operasi SPRM, kemudian dinaikkan pangkat menggantikan Latheefa.

Selanjutnya, Latheeta memberitahu Mingguan Malaysia dia telah memastikan perwakilan undang-undang untuk semua suspek yang disoal siasat oleh SPRM.

"Saya beri arahan sesiapa yang dibawa untuk disoal siasat, seseorang dibenarkan untuk bersama peguam tetapi sekarang peguam dilarang bersama anak guamnya dalam siasatan sedangkan peguam tidak mengganggu siasatan SPRM," katanya.

Latheefa bagaimanapun tidak melabel secara langsung SPRM di bawah Azam sebagai “alat politik” Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dakwaan yang sering dibuat oleh pengkritik kerajaan.

“Saya tidak akan cakap begitu. Lihat kepada persepsi orang ramai sebagai tidak bebas dan ditekan,” kata Latheefa yang juga enggan mengulas secara langsung mengenai prestasi Azam sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

Latheefa juga berkata dia tidak menerima tekanan mana-mana pihak namun mengakui cabaran daripada segi memastikan SPRM sentiasa bebas.

Persoalan mengenai kebebasan SPRM dibangkitkan dalam artikel Bloomberg bertarikh 26 Sept yang memetik sumber tanpa nama yang mendakwa Anwar telah mengarahkan agensi itu menyiasat bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, Mahathir, dan anak-anak Mahathir.

Artikel itu juga memetik sumber yang tidak dinamakan yang mendakwa bahawa pada Mac, Azam mengarahkan pegawainya untuk mengelak daripada menyiasat pembelian saham bekas setiausaha politik Anwar Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang didakwa atas arahan perdana menteri.

Pejabat Perdana Menteri dan SPRM telah menafikan dakwaan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen